Selepas Zahid sahkan ada majoriti, Sultan titah Pas dan Bersatu mengadap

Sultan Perak Sultan Nazrin Shah sudah menitahkan Adun Bersatu dan PAS untuk datang mengadap baginda bagi membuktikan calon menteri besar Umno, Saarani Mohammad, mendapat sokongan majoriti di DUN.

Anggota Dewan Negara Perak Mohd Annuar Zaini berkata sebentar tadi Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi sudah mengadap Sultan Nazrin Shah untuk menyerahkan nama calon menteri besar.

“Tuanku menerima maklumat dan status terkini yang dipersembahkan dan baginda perlu diyakinkan bahawa perkara yang disembahkan itu perlu dibuktikan terlebih dahulu.

“Oleh kerana itu selanjutnya tuanku menitahkan Adun Bersatu dan PAS untuk datang mengadap pada bila-bila masa hari ini,” katanya kepada media di Istana Kinta, Ipoh pagi ini.

Menurut Mohd Annuar lagi istiadat angkat sumpah jawatan menteri besar akan hanya dilaksanakan setelah Sultan Nazrin yakin Umno memiliki majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Justeru katanya pihak istana sedang menunggu wakil Bersatu dan PAS untuk menghadap Sultan Nazrin.

Ditanya sama ada wakil Pakatan Harapan (PH) juga akan mengadap, Mohd Annuar berkata, hal itu tidak dapat diulas buat masa ini.

“Saya tak boleh nak cakap… Setakat ini pihak istana memaklumkan Adun Bersatu dan PAS sudah dititahkan menghadap Sultan Nazrin untuk baginda mendengar apa pendirrian mereka dalam soal penubuhan kerajaan Perak,” katanya.

sumber: https://www.malaysiakini.com/news/554294