Semata nak ganti tempat kekasih, seorang lelaki sanggup berpakaian wanita untuk duduki peperiksaan

Seorang lelaki sanggup menyamar menjadi wanita untuk menduduki peperiksaan di Universiti Sains Kesihatan Baba Farid, India bagi pihak teman wanitanya.

Menerusi laporan India.com, Angrez Singh telah berpakaian seperti wanita dengan memakai alat solek, gelang, bindi dan salwar kameez untuk menyamar sebagai kekasihnya, Paramjit Kaur.

Menurut pegawai bertugas, Singh  telah memalsukan identitinya dengan menggunakan kad pengundi palsu untuk mengambil peperiksaan pengambilan pekerja kesihatan pelbagai guna bagi menggantikan Kaur.

Walau bagaimanapun, penyamaran Singh terbongkar selepas dia ditangkap akibat cap jarinya tidak sepadan dengan calon yang sebenar pada peranti biometrik.

Berdasarkan dokumen pengenalan diri dan ID pengundi palsu, pihak polis menyatakan Singh tidak bertindak sendirian dan menerima bantuan profesional.

Seorang pegawai kanan polis berkata satu kes telah didaftarkan terhadap Angrez Singh berdasarkan aduan yang difailkan oleh universiti itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Baca juga: 13 tahun kerja kedai emas, wanita ini kongsi tips paling senang cara cuci emas nampak macam barang baru