“Sempurnakan pendidikan anak-anak dahulu, baru fikir soal haji. Ini tidak, jangan usik duit haji RM500 tu”

Semasa anak-anak masih belajar dan mereka memerlukan biaya ibu bapa, pendidikan adalah keutamaan berbanding menyimpan untuk haji.

Pendidikan anak-anak sesempurna mungkin memerlukan biaya RM1,500 sebulan. Maka tak wajar bagi ibu bapa hanya berbelanja RM1,000 sebulan untuk pendidikan tetapi menyimpan RM500 untuk haji.

“Saya tidak berkata tak perlu menyimpan untuk haji. Tetapi simpanan untuk haji tidak harus mengambil apatah lagi merampas hak anak-anak mendapat pendidikan terbaik dan sesempurna mungkin,” kata seorang pengguna Facebook Zulqarnain Abidin.

Misalnya, anak yang mahu masuk universiti memerlukan laptop, dan tak ada duit lain, ambillah saja duit yang disimpan untuk haji.

“Jangan bersikap, “Ini tak boleh kacau, ini duit nak pergi haji,”kata beliau.

Begitu juga keperluan lain seperti buku, peralatan, pakaian dan kenderaan, termasuk juga ruang belajar yang sesuai dan selesa.

“Saya sedih dengan satu kes yang saya tahu, anak seseorang mendapat tawaran belajar di sekolah berasrama penuh tetapi terpaksa menolak tawaran itu kerana faktor biaya awal.

“Padahal sebelum itu, bapanya pergi menunaikan haji. Pelikkan? Sebab wang simpanan yang ada diguna untuk haji tanpa berfikir dan merancang untuk masa depan pendidikan anak-anak,” ujarnya.

Betul, Tuhan menjanjikan syurga untuk ibadat haji. Namun apabila kita buka Quran juga, Tuhan sebut orang yang beramal saleh lelaki dan wanita dalam keadaan beriman dijanjikan kehidupan yang baik di dunia dan balasan terbaik di akhirat.

Adakah kita tidak berfikir bahawa membiayai pendidikan anak-anak termasuk amal saleh, bahkan amal saleh yang manfaatnya lebih besar berbanding yang lain?

Atau kita lupa ungkapan, “Anak yang saleh adalah penyambung pahala untuk ibu bapa selepas mati”, sebagai mafhum daripada hadith Nabi? Salah satu ciri anak yang saleh ialah anak yang berilmu.

Mengapa orang Islam tidak melihat pendidikan anak-anak sebagai amal saleh utama dan perintis jalan ke syurga?

Beliau menambah, gaya berfikir sebahagian orang Islam dalam beragama masih diselaputi kabut kekeliruan tentang beberapa konsep keagamaan yang bersifat abstrak.

“Misalnya konsep berkat. Bagi kita berkat hanya ada pada solat, zakat, haji dan seumpamanya. Adakah tidak ada keberkatan dalam tungkus-lumus membiayai pendidikan anak-anak? Tiada keberkatan apabila beli laptop untuk anak, bagi tambang bas untuk anak pergi sekolah?

“Begitu juga konsep kehidupan yang baik (hayatan taiyibah) seperti yang Quran sebut.

“Adakah hanya dengan ibadat haji kehidupan yang baik diperolehi? Bukankah membiayai anak kurang upaya memasuki kelas khas supaya dia dapat berdikari adalah bentuk usaha membentuk kehidupan yang baik untuk dia dan keluarga?” katanya.

Demikian juga konsep, nanti Allah tolonglah kalau kita berbelanja untuk jalan Allah. Beli buku tambahan untuk bacaan anak dan hantar ke kelas pemantapan matematik tak dikira berbelanja untuk jalan Allah? Adakah haji sahaja dikira berbelanja untuk jalan Allah?

“Saya percaya, jika orang Islam tidak mengutamakan pendidikan meskipun mereka rajin bersolat dan kerap menunaikan haji, mereka tidak akan berganjak daripada titik kelemahan yang mereka sedang pijak kini.

“Sampai bila orang Islam akan terus dibuai oleh candu istilah agama yang bersifat abstrak dan berharap keajaiban daripada langit, bumi dan laut,”tambah beliau.

Akhirnya setelah orang Islam terpuruk ke belakang, modal yang orang Islam ada ialah laungan Islam terancam dan liberal berkembang.

Sementara anak-anak orang Islam pula terus tak minat matematik dan sains. Ibu bapa mereka pula kalut dengan umrah tahunan. Duit yang ada diperuk untuk ibadat haji demi syurga untuk diri sendiri.

Generasi mereka jadi apa pun tak apa asalkan mereka pulang dari Mekah dengan title “Haji Khayal Bin Haji Kosong”.

Baca juga: Tiada lagi budaya pencen, “kerja kerajaan KWSP, swasta pun KWSP”