Semua 6 Ahli Penasihat SPRM meeting tanpa saya, Abu Zahar luah rasa kecewa

Semua enam ahli Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah bermesyuarat tanpa Pengerusi Abu Zahar Ujang sebelum menjarakkan diri daripada kenyataan beliau berhubung isu Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, dan pemilikan saham.

Memetik dari FMT, perkara itu didedahkan oleh Zahar sendiri pada sidang media hari ini, dalam merakamkan rasa dukacita atas tindakan enam ahli LPPR itu.

Zahar berkata, susulan kenyataannya pada 5 Jan lalu, beliau menerima pesanan daripada ahli LPPR, Ismail Omar, mengesahkan bahawa lembaga akan bermesyuarat pada 11 Jan (hari ini) untuk membincangkan perkara berkaitan.

“Di atas pandangan dan permintaan mereka, saya telah menyatakan persetujuan saya untuk mengadakan perjumpaan tertutup tersebut pada 11 Jan 10 pagi di pejabat Akademi SPRM di Jalan Duta (Kuala Lumpur).

“Tiba-tiba pada 8 Jan, saya dapati semua enam ahli LPPR tersebut telah mengadakan mesyuarat di antara mereka terlebih dahulu tanpa memberitahu saya dan mereka telah mengeluarkan kenyataan media,” katanya.

Pada hari tersebut, enam ahli LPPR berkenaan menjauhkan diri daripada kenyataan Zahar membersihkan nama Azam daripada salah laku berhubung isu pemilikan saham.

Mereka berkata komen Zahar adalah pandangan peribadi beliau sepenuhnya.

Menurut mereka, sebelum sidang media Zahar pada 5 Jan, mereka mengadakan perbincangan berasingan dengan Zahar dan mencadangkan perkara itu dirujuk lebih lanjut kepada Jawatankuasa Khas Parlimen Mengenai Rasuah atau Jawatankuasa Aduan SPRM.

Bagaimanapun, pandangan dan cadangan mereka tidak dibangkitkan Zahar pada sidang media tersebut, kata mereka.

Zahar dalam kenyataan hari ini percaya reaksi mereka itu disebabkan oleh laporan sesetengah media berhubung kenyataan 5 Jan itu, yang didakwanya tidak tepat dan tidak menyeluruh.

“Kenyataan media yang dibuat oleh keenam ahli-ahli tersebut amatlah dikesali,” katanya, sambil menambah beliau sedia untuk disiasat mana-mana pihak pada bila-bila masa.

Sidang media hari ini bermula lebih awal sebelum FMT dan beberapa media dalam talian lain dibenarkan masuk. Zahar meninggalkan majlis tanpa menerima sebarang soalan daripada pemberita.

Azam sebelum ini menegaskan beliau tidak melakukan sebarang kesalahan berhubung pemilikan lebih empat juta saham dan waran syarikat tersenarai menggunakan akaun dagangannya pada tahun 2015-2016 semasa beliau Pengarah Siasatan SPRM.

Beliau berkata saham dan waran itu dibeli oleh adiknya Nasir dan perkara itu dimaklumkan kepada pihak atasan ketika itu.

Susulan itu, Suruhanjaya Sekuriti berkata ia mahu mendapatkan penjelasan daripada Azam berhubung urusniaga melibatkan pemilikan saham dan waran itu.