Semua pakat mengaku anak bila jutawan ini tawar duit RM6.63 Juta sesiapa yang jumpa anaknya

Seorang jutawan muak semua pakat mengaku anaknya yang hilang apabila ditawar duit RM6.63 juta. Beliau kini diganggu orang tidak dikenali yang mengaku sebagai anaknya, Xie Haonan.

Berusia 51 tahun di tenggara China berkata setelah dia menawarkan ganjaran 10 juta yuan (kira-kira RM6.63 juta) jika ada yang menemukan anak lelakinya itu yang sudah lama hilang.

South China Morning Post (SCMP) melaporkan, Xie Yue, seorang usahawan dari Shenzhen, wilayah Guangdong mendakwa dihubungi ramai orang yang mahu menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA), termasuk seorang lelaki yang hanya 10 tahun lebih muda dan berkeras memanggilnya ayah.

Jumlah duit yang besar menarik perhatian meluas sehingga menyebabkan Xie Yue diganggu ramai orang yang tidak jujur.

“Saya menerima kira-kira lapan hingga sembilan panggilan telefon setiap hari daripada orang yang terus memanggil saya ayah.

“Seorang lelaki berusia 41 tahun datang ke pejabat saya, mengatakan dia anak saya dan mahu jalankan ujian DNA. Umur saya baru 51 tahun. Jadi mustahil untuk saya menjadi bapanya. Ia menjejaskan kehidupan peribadi dan kerja saya secara serius,” kata Xie Yue.

Menurut Xie Yue, pada awalnya, dia akan mengalu-alukan kunjungan mereka yang tampil dan menawarkan untuk membayar sebahagian daripada tambang kereta api mereka selepas mereka menunjukkan tiket serta kad pengenalan kepadanya.

Lama-kelamaan, Xie Yue menyedari dia banyak membuang masa apabila melayan individu berkenaan.

“Tolong jangan datang buat ujian DNA dengan saya. Mulai sekarang, saya tidak layan…, ” kata Xie Yue dalam video dimuat naik di media sosial Douyin pada 3 Januari.

Xie Yue merujuk kepada mereka yang cuba menyamar untuk mewarisi kekayaannya.

Bagaimanapun katanya, dia yakin dengan bantuan polis, anaknya yang kini berusia 25 tahun akan ditemukan pada tahun ini.

Terdahulu, media tempatan melaporkan Xie Yue menawarkan ganjaran 10 juta yuan (kira-kira RM6.63 juta) kepada mereka yang ada maklumat mengenai anaknya yang hilang ketika budak itu berumur tiga tahun.

Baca juga: KL jadi tempat ke-10 terbaik di dunia, boleh ‘healing’ di Menara 118, KLCC dan Menara The Exchange 106