Pasti ramai yang perasan andai cawan itu digunakan untuk menghidang air kopi atau teh, pasti ia akan meninggalkan kesan berdaki.
Walaupun telah dicuci dengan pelbagai jenis pencuci, kesan tersebut tetap sukar untuk dihilangkan.
Selain membuat mata tidak selesa untuk melihatnya, keadaan ini juga membuat tuan rumah berasa malu untuk menyajikan air kepada tetamu menggunakan cawan yang berdaki.
Jika anda menghadapi masalah ini, jangan tergesa-gesa untuk membuang cawan tersebut kerana terdapat cara mudah untuk menghilangkan kesan kotoran yang degil.
Kaedah tersebut diajarkan oleh Sabunku Malaysia menerusi satu hantaran dibuat di Facebook.
Bahan-bahannya adalah seperti berikut:
1. 2 sudu cuka
2. 1 sudu baking soda
3. Sedikit pencuci pinggan mangkuk
Cara-caranya:
Isi cawan yang kotor dengan baking soda, lalu tuangkan dua sudu cuka ke dalam cawan yang sama.
Masukkan pencuci pinggan mangkuk ke dalamnya dan tambahkan sedikit air panas untuk hasil yang lebih berkesan.
Kacau semua campuran sehingga menjadi satu sebatian dan biarkan selama 10 minit. Selepas itu, cuci dan bilas cawan tersebut seperti yang biasa anda lakukan.
Jika masih kotor, rendamkan cawan tersebut semalaman untuk hasil yang lebih memukau.