Sengaja raih perhatian netizen, polis tahan lelaki ‘Wheelie’ bawa budak

Akibat terlalu ingin meraih perhatian, seorang lelaki akhirnya ditahan polis selepas dengan sengaja dan berbahaya menunggang motosikal dengan aksi ‘wheelie’.

Menerusi video berdurasi 36 saat yang tular di media sosial semalam, memaparkan seorang lelaki menunggang motosikal Honda EX5 secara berbahaya bersama seorang kanak-kanak perempuan.

Dalam kejadian di Skudai itu, lelaki terbabit dikatakan sengaja merakam aksi ‘wheelie’ untuk meraih perhatian warganet dengan memuat naik video di media sosial.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara Rupiah Abd Wahid berkata, pihaknya menerima maklumat berkaitan video tular aksi ‘wheelie’ itu pada pukul 3 petang.

“Lelaki itu melakukan aksi ‘wheelie’ di Jalan Bukit Impian 1, Taman Impian Emas, Skudai disini, dipercayai semata-mata untuk meraih perhatian warganet di media sosial,” katanya dalam kenyataan.

Rupiah berkata, aksi berkenaan dirakam dengan bantuan rakan lelaki itu sebelum ia dimuat naik ke Facebook pada 7 malam, 15 Februari lalu.

Menurutnya, hasil siasatan polis berjaya mengesan dan menahannya bagi membantu siasatan.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan jika disabit kesalahan boleh dipenjara sehingga lima tahun dan didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM15,000.

“Dalam kes ini, tiga saman turut dikeluarkan termasuk kerana menggunakan nombor pendaftaran kenderaan tidak mengikut spesifikasi, cukai jalan tamat tempoh dan tidak memakai topi keledar.

“Pihak polis menasihati orang ramai supaya tidak memandu kenderaan dengan melakukan aksi yang boleh mengundang bahaya kepada diri sendiri mahupun pengguna jalan raya,” katanya.