Seolah sudah tiada, bacaan “Al-fatihah” memenuhi ruangan facebook Saifuddin

Ruangan komen di facebook Menteri Penerangan dan Komunikasi, Dato Saifuddin Abdullah harini dipenuhi dengan ucapan “al-fatihah” dan “Inanillah”.

Ini selepas Menteri tersebut menukar gambar profile picture nya dengan meletakkan gambarnya seolah-olah dia sudah meninggal dunia.

Gambar yang dimuatnaik tanpa warna itu dimuatnaik Saifuddin pada petang tadi lantas menerima pelbagai ucapan takziah dari netizen.

Selepas hanya meletak gambar hitam putih itu, baru lah Saifuddin menukar badge pada gambar itu yang menyokong kempen “Black” yang dilancarkan untuk menyokong doktor kontrak yang bertugas.

Setakat ini satu jam yang lalu, sudah 200 warganet komen di ruangan gambar tersebut yang rata-ratanya mengucapkan al-fatihah kepada menteri terbabit.

Saifuddin Abdullah pada bulan yang lalu telah dikatakan menghidap Covid-19 tahap tiga seperti dimaklumkan isterinya, Datin Norlin Shamsul Bahri.

Menerusi hantaran di Facebook, Norlin memberitahu dirinya pula mengalami Covid-19 tahap dua sambil menegaskan virus pandemik itu benar-benar wujud.

“Dia (Virus Covid-19) akan serang satu-satu organ dalam badan. Semua jadi tak selesa. Badan jadi sakit-sakit.

“Dalam jaga SOP pun kami kena. Kami redha. Jadi, anda semua jangan mintalah nak dapat Covid-19,” katanya.

Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang itu disahkan positif Covid-19 selepas mendapat keputusan ujian saringan malam, 28 April lalu.

Setiausaha Bersatu Pahang tersebut kemudiannya menjalani tempoh kuarantin mengikut saranan dan pemantauan rapi Kementerian Kesihatan (KKM).

Untuk rekod, terdapat lima tahap jangkitan Covid-19 dengan tahap satu tidak menunjukkan sebarang gejala manakala pesakit tahap dua bergejala ringan tetapi tiada radang paru-paru.

Selanjutnya, pesakit tahap tiga adalah bergejala dengan mengalami radang paru-paru.

Sementara itu, pada tahap empat pula pesakit bergejala, mengalami radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen.

Tahap lima iaitu akhir pula berlaku apabila pesakit bergejala kritikal dan memerlukan rawatan intensif di Unit Rawatan Rapi (ICU).