Seorang wanita Juruteknik Akses Tali kongsi kisah ngeri hampir di sambar kilat di puncak menara KLCC

Seorang wanita yang mengambil jurusan Juruteknik Akses Tali berkongsi kisah ngeri hampir di sambar kilat di puncak Menara Berkembar Kuala Lumpur City Centre (KLCC).

Kerjayanya adalah sebagai seorang Juruteknik Akses Tali (Rope Access) ini tersenarai dalam 10 profesion paling berisiko di dunia.

Wanita berkenaan ditugaskan untuk melakukan kerja yang agak mencabar iaitu menukar lampu di puncak mercu tanda tersebut yang berketinggian 88 tingkat dengan memakai alat keselamatan.

Memang tabik betul dengan ‘Iron Lady’ ini. Dia siap boleh lambai dan senyum melihat kamera ya!

Individu di sebalik gelaran ‘Iron Lady’ ini merupakan seorang wanita bernama Normalia Sidek yang berani menceburkan diri dalam bidang kerjaya didominasi oleh kaum lelaki.

Perkongsian dari @MySamudera di laman X, Normalia menceritakan dia pernah menangis ketika memanjat bangunan setinggi 30 tingkat dan tidak menyangka ketakutannya itu kini menjadi batu loncatan buat dirinya sejak lima tahun lepas.

Wanita ini turut bercita-cita untuk menakluk puncak menara Burj Khalifa di Dubai. Bucket list untuk takluk puncak Menara Berkembar Petronas sudah tercapai, selepas ni Burj Khalifa di Dubai pula.

Mungkin ada yang menganggap kerjaya ini agak menakutkan, tetapi bagi dirinya ia adalah salah satu pencapaian yang membanggakan kerana diberi kepercayaan untuk berkhidmat di bangunan ikonik di Malaysia.

Juruteknik Akses Tali Bukan Sekadar Cuci Tingkap Bangunan

Kalau anda perasan, sesekali itu memang akan ada orang ‘tergantung’ di menara tinggi dan mereka dilihat sedang mencuci tingkap. Kita yang tengok pula gayat ya.

Tetapi sebenarnya kerjaya sebagai juruteknik akses tali ini bukan hanya sekadar membersihkan cermin tingkap, skop tugas mereka lebih luas termasuklah melakukan kerja-kerja Ujian Tanpa Musnah (NDT).

Pada awal memasuki bidang kerjaya ini, Normalia terpaksa menyesuaikan diri dengan pekerja yang boleh dikatakan kebanyakkan adalah kaum lelaki.

Malah dia juga perlu membuktikan kemampuan dirinya juga setanding dengan mereka supaya tidak menjadi beban kepada pasukan.

Lama-kelamaan, semuanya menjadi lebih mudah dan tiada isu jantina timbul ketika menjalankan tugas.

Normalia Kongsi Kisah Ngeri Sepanjang Bekerja Sebagai Juruteknik Akses Tali

Normalia juga sempat berkongsi kisah ngeri apabila berdepan dengan detik mendebarkan sepanjang menjalankan tugas.

Antaranya adalah dia pernah hampir disambar kilat ketika sedang menyelenggara di sebuah bangunan di Bangsar, Kuala Lumpur.

Menurutnya, cuaca ketika itu tiba-tiba berubah dalam sekelip mata daripada terang kepada gelap sehingga turunnya hujan lebat.

Kalau ikut prosedur, bila cuaca buruk semua kerja perlu dihentikan. Tapi waktu tu cuaca cerah dan secara tiba-tiba berubah. Entah bagaimana, saya nampak hujung kilat itu melalui cermin tingkap bangunan. Kami cepat-cepat turun dari bangunan itu dalam keadaan hujan lebat.

Berjalan di atas lantai kaca di Menara Kuala Lumpur pun sudah gayat, ini kan pula berada di luar bangunan setinggi 88 tingkat.

Memang kagum betul dengan wanita hebat ini. Bukan semua orang berani untuk melakukan kerja yang cukup mencabar ini.

Baca juga: Hanya kerja 5 hari, gaji nelayan ini cecah RM333K!