Serangan Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dianggap sebagai satu kenyataan yang tidak perlu dan tidak membantu sama sekali dalam usaha mengembalikan mandat rakyat.
Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad berkata, teguran bekas Perdana Menteri itu pasti akan dibalas oleh penyokong Anwar yang akhirnya akan menyebabkan sengketa sesama parti berterusan.
Sedangkan katanya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang sepatutnya menjadi sasaran kerana mereka telah mengkhianat dan melanggar mandat rakyat.
“Kenyataan Mahathir tidak mengambil kira hakikat bahawa Pakatan Harapan adalah kerajaan yang bersandarkan konsep pertanggung-jawaban bersama iaitu keputusan bukan di tangan Perdana Menteri seorang.
“Tun sendiri pasti ingat semasa beliau Perdana Menteri, perbahasan panjang dan mendalam merupakan kebiasaan kami dan ada juga yang dibuat tidak mengikut pendapat Tun pada asalnya.
“Dalam suasana sekarang, kita perlu menumpu segala kekuatan untuk menghalang kemaraan PN yang sedang bergerak licik untuk mengekalkan kedudukan mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Mahathir mendakwa Anwar tidak berkemampuan untuk memimpin negara terutama ketika berhadapan dengan krisis ekonomi ketika ini.
Beliau berkata, ianya berdasarkan pengalamannya bersama ahli Parlimen Port Dickson itu ketika mentadbir negara.
Perkara tersebut kemudiannya mendapat respon PKR yang membidas tokoh berkenaan cuba untuk mengkhianati dan menggagalkan usaha PH menjadi kerajaan semula.
Sementara itu, Khalid menyeru semua pihak yang ingin melihat kembalinya mandat rakyat dan jatuhnya kerajaan PN, untuk segera merapatkan saff dan mengenepikan perbalahan antara parti.
Tambahnya yang juga bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu lagi, perbahasan Belanjawan 2021 merupakan peluang terbaik untuk menyatukan pembangkang.
Malah, ianya merupakan peluang untuk melonjakkan kedudukan pembangkang bagi mendapatkan kembali kedudukan sebagai kerajaan.
“Kalau PN masih memerintah selepas membentang satu belanjawan yang terburuk dalam sejarah negara, ianya bukan kerana parti itu kuat.
“Tetapi sebaliknya kerana pembangkang tidak sepakat dan hilang tumpuan serta sibuk berbalah satu sama lain,” katanya lagi.
Sumber: MD