Sesi menghadap hanya seminit setiap orang, MP BN dedah proses jumpa Agong

Ahli Parlimen Jempol, Datuk Salim Sharif memaklumkan setiap ahli Parlimen diberi masa-masa kira-kira seminit untuk sesi sembah menghadap Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara, hari ini.

Jelas beliau, dalam sesi itu mereka diminta memaklumkan calon Perdana Menteri baharu yang diberi sokongan bagi mengesahkan surat perakuan yang dihantar semalam.

“Ambil masa kira-kira seminit sahaja. Kami diminta memperkenalkan diri, mewakili Parlimen mana dan siapa calon sokongan.

“Sesi dijalankan secara seorang demi seorang bersama Yang di-Pertuan Agong,” katanya memetik BH.

Salim juga mengesahkan pada sesi itu, Timbalan Yang di-Pertuan Agong Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang juga Sultan Perak tidak bersama.

Hari ini, seramai 114 ahli Parlimen Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), GPS, PAS dan Bebas dijadualkan menghadap Seri Paduka secara berperingkat.

Sementara itu, seorang Ahli Parlimen dari Sarawak yang enggan nama didedahkan turut mengesahkan sesi itu berlangsung kira-kira satu minit sahaja secara bergilir-gilir.

Katanya, Ahli Parlimen juga diminta membuat perakuan calon Perdana Menteri yang disokong mereka.

sumber : https://suara.tv/19/08/2021/sesi-menghadap-agong-cuma-seorang-seminit-perkenalkan-diri-parlimen-mana-dan-siapa-calon-pm-disokong/