Shahrir Samad jawab Muhyiddin, bubar dewan bukan semudah tekan butang sahaja

Veteran UMNO, Tan Sri Shahrir Samad menjelaskan pembubaran Dewan Rakyat mahupun Dewan Undangan Negeri (DUN) perlu mengikut perlembagaan dan bukan semudah ‘tekan butang’ sahaja.

Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru berkata, proses pembubaran tertakluk kepada proses di bawah perlembagaan yang melibatkan peranan ketua negara atau ketua negeri.

“Negara kita ada Perlembagaan. Negeri pun ada perlembagaan masing-masing.

“Tambahan pula, ada Yang di-Pertuan Agong, Raja-raja Pemerintah dan Tuan Yang Terutama, ketua-ketua negeri yang juga ada peranan dan tanggungjawab berperlembagaan.

“Hendak bubar Dewan Rakyat atau DUN, bukan semudah dengan ‘tekan butang’ sahaja. Ada prosesnya. Ia tertakluk kepada proses di bawah perlembagaan yang melibatkan peranan ketua negara atau ketua negeri,” katanya menerusi catatan di Facebook miliknya pada Ahad.

Menurut Shahrir, tiada kaitan dalam soal ‘saya jatuh UMNO tidak sokong’ yang dibangkitkan dengan konsep asas kepada amalan demokrasi di negara ini

“Soal ‘saya jatuh UMNO tidak sokong’ pun ada kaitannya dengan konsep asas kepada amalan demokrasi kita, iaitu demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan. Itu, kalau kita masih boleh ingat,” katanya.

Pada Jumaat, Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan cabaran dibuat Shahrir agar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Johor adalah berniat jahat dan tidak bijak.

Artikel Penuh : https://www.sinarharian.com.my/article/172253/BERITA/Politik/Bukan-semudah-tekan-butang-bubar-DUN-Dewan-Rakyat-Shahrir