Penyanyi Shila Amzah menyatakan bahawa memiliki dan menetap di sebuah kediaman yang besar atau mewah tidak menjamin kebahagiaan bagi sesuatu keluarga.
Menurut Nurshahila Amir Amzah, 33 tahun, dia memilih kediaman bersaiz sederhana kerana beliau percaya bahawa rumah yang besar boleh menjadi faktor pemisahan dalam hubungan antara ahli keluarga.
“Saya lagi memilih untuk menetap di rumah bersaiz lebih kecil sebab kediaman yang besar susah untuk dijaga.
“Kemudian apabila setiap ahli keluarga memiliki ada ruang sendiri, hubungan pun akan jadi renggang.
“Jadi, lebih baiklah rumah bersaiz sederhana sebab yang penting ada hubungan keluarga lebih erat dan tidak berpaksikan perkara dalam media sosial,” katanya dalam TikTok.
Pandangan tersebut disuarakan oleh penyanyi lagu “Masih Aku Cinta” itu dalam sebuah video yang memaparkan ‘house tour’ rumah banglo miliknya di Hulu Langat.
Dalam pada itu, dia juga menyatakan bahawa kehidupannya kini tidak lagi bergantung pada kehendak dan keperluan media sosial seperti yang pernah dilakukannya sebelum ini.
“Rumah yang besar bukan jaminan untuk buat kita bahagia dan gembira atau kekal bersama selama-lamanya.
“Dalam hidup tiada istilah semuanya bersifat selamanya. Sebagai manusia yang baik, kita perlu ingat bahawa semua perkara hanyalah bersifat sementara dan sekadar pinjaman,” ujarnya.
Baca juga: Sedapnya resepi sotong goreng rangup! Lagi jimat bila buat kat rumah, cuma guna 6 bahan ini je