Kontroversi stoking kalimah Allah, ini reaksi duta KK Mart

Selebriti Shuib tidak akan berkompromi berhubung kontroversi penjualan stoking tertera kalimah Allah di kedai serbaneka KK Super Mart yang tular baru-baru ini.

Pelawak yang juga duta KK Mart itu menegaskan kecuaian sehingga menyentuh sensitiviti agama tidak seharusnya berlaku dalam mana-mana bidang perniagaan.

“Sebagai seorang umat Islam saya aku terkesan dan perkara sebegitu tak sepatutnya berlaku dalam mana-mana bentuk perniagaan atau pun situasi.

“Kita akan marah sebab kalimah Allah ini benda yang terlalu besar.

“Kalau benar, saya tidak akan menyokong, saya tak akan mengiyakan langsung sebab ini tanggungjawab saya sebagai seorang umat Islam,” katanya, dipetik Kosmo.

Shuib atau nama penuhnya Shahmira Muhammad, 40, mengakui marah dengan penjualan stoking tertera kalimah Allah itu.

“Saya memang marah ketika isu ini tercetus sebab tidak sepatutnya berlaku. Perkara yang terjadi itu sangat keji, ini yang saya boleh cakap.

“Apa pun, isu ini masih belum selesai dan siasatan masih dijalankan.

“Jadi, saya tidak boleh ulas lanjut kerana melibatkan perniagaan dan juga sensitiviti orang lain,” ujarnya.

Walau bagaimanapun, beliau sentiasa berdiri sebagai seorang umat Islam yang tidak akan sesekali menyokong sesuatu perkara salah.

Bekas ahli kumpulan Sepahtu itu mengakui sedia melepaskan tanggungjawabnya sebagai duta jika kedai serbaneka itu terbukti bersalah kelak.

“Saya sentiasa percaya pada konsep rezeki. Jika memang tiada rezeki saya maka tiadalah dan sebaliknya.

“Tetapi macam mana pun saya tetap kena meletakkan prinsip bahawa saya adalah seorang Islam,” katanya.

Terdahulu, Malaysia digemparkan dengan penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di rangkaian kedai serbaneka KK Mart.

KK Mart kemudiannya dalam sidang media selepas teruk dihujani kecaman ramai membuat permohonan maaf secara terbuka ekoran kes yang sedang disiasat polis itu.

Pada masa ini siasatan sedang dijalankan oleh pihak berkuasa berhubung penghasilan produk yang dianggap biadab dan sengaja mencetuskan provokasi terhadap agama Islam.

BACA JUGA Lauk sardin paling senang nak buat masa sahur, lagi kering lagi menjilat jari!