Siap hidang air sirap untuk murid merentas desa, pujian mencurah tapi ada pula buat ‘teori konspirasi’

Satu rakaman video tersebar di media sosial memaparkan sebuah keluarga siap hidang air sirap untuk murid yang sedang menjalani aktiviti merentas desa.

Deretan gelas berisi minuman yang disusun di atas meja itu dilihat diambil satu persatu oleh peserta acara larian tersebut bermula dengan kumpulan murid lelaki.

“Terima kasih, bang!” kedengaran ucapan daripada beberapa murid lelaki sambil meneguk air kepada seorang lelaki berbaju biru yang menyediakan sumbangan air percuma itu.

Klip video yang dipercayai dirakam isteri lelaki itu turut sempat merakamkan gambar seorang bayi kecil yang mungkin anak mereka yang sedang tidur.

Namun, diperhatikan sebahagian murid perempuan di belakang tidak berpeluang minum kerana sudah habis.

Di hujung rakaman itu, lelaki berkenaan mengumpulkan bekas plastik minuman dalam sarung sampah bersaiz besar.

Rata-rata memuji tindakan keluarga muda itu bersedekah dalam bentuk menyediakan minuman percuma kepada murid-murid yang merentas desa.

“Bayangkan seteguk air budak-budak tu minum, berapa besar dia punya pahala. Itu baru sorang. Kalau ramai macam ni? Terbaik bro. Tak hairanlah kalau Allah beri kekayaan pada kau. 🫡

“Nak sedekah tak perlu tunggu kaya. Semoga abang ni sekeluarga dikurniakan rezeki yang berlipat kali ganda.

“Tak cukup airnya… hahaha… Seronok kan tengok gelagat budak-budak,” demikian antara komen warga maya.

Namun, komentar seorang pengguna Facebook yang seolah-olah berbaur teori konspirasi buat ramai terhibur.

“Aku rasa anak abang ni menang… sebab dia dah plan untuk lambatkan larian budak-budak ni.

“Dia pesan kat anak dia, sampai depan rumah nanti, kamu henjut (lari) terus, jangan ambil air,” selorohnya lagi.

BACA JUGA Ini 11 fakta tentang Tun Hanif Omar yang generasi TikTok perlu tahu, tak sangka ada kaitan dengan Dato Maharaja Lela