Siapa ‘Ali dari padang pasir’ antara ‘hero’ selamatkan Rayan?

Tragedi kanak-kanak lima tahun yang terperangkap di dalam perigi sedalam 32 meter di Maghribi telah menggemparkan seluruh dunia. Selepas beberapa hari cuba diselamatkan, kanak-kanak yang dikenali sebagai Rayan itu dilaporkan telah meninggal dunia, hari ini.

Terperangkap sejak Selasa lalu, #SaveRayan telah menjadi sohor kini di seluruh dunia, diiringi dengan ucapan dan doa agar kanak-kanak itu berjaya dikeluarkan dari perigi tersebut.

Beribu-ribu orang juga dilaporkan telah berkumpul di kawasan kejadian untuk menyaksikan operasi menyelamat, tetapi malangnya Rayan meninggal dunia sebelum penyelamat berjaya sampai kepadanya, lapor portal LA100.

Dalam pada itu, seorang lelaki yang dikenali sebagai Ali Eljajaoui telah meraih perhatian dan mendapat pujian dalam misi menyelamatkan Rayan ini.

Ali yang memakai baju T-shirt berwarna biru dan topi hitam dikatakan datang ke tempat kejadian dan bertanya sama ada dia boleh membantu atau tidak. Difahamkan, Ali merupakan seorang pakar penggerudian yang berasal dari Erfoud di selatan Maghribi.

Disebabkan itu juga, orang ramai memanggilnya Ali ‘Sahraoui’, yang bermaksud ‘Ali dari padang pasir’.

Tinggal di Erfoud membuatkannya mahir menggali perigi kerana penduduk di kawasan itu memerlukan air untuk terus hidup.

Apabila Ali mengetahui mengenai keadaan Rayan, dia bersedia untuk bekerjasama dengan pasukan penyelamat. Dia dilaporkan telah bertolak dari Erfoud dan mengembara hampir seluruh Maghribi iaitu dari selatan ke utara, untuk berkongsi tips ‘rahsia perigi’ dengan juruteknik yang berada di lokasi kejadian.

Dia telah membentangkan idea dan strategi untuk mengelakkan tanah runtuh berlaku dan dapat mendekati Rayan tanpa risiko yang besar.

Selepas itu, Ali mengetuai misi untuk menggali perigi itu hingga ke penghujung bersama tiga orang pemuda lain dengan menggunakan tangan mereka. Kerja menggali itu mengambil masa selama beberapa jam sebelum mereka berjaya sampai ke tempat keberadaan Rayan.

Fotonya yang sedang bersandar dan meneguk air menjadi tular di media sosial dan ramai yang menganggapnya sebagai hero dalam misi menyelamatkan Rayan.

 

sumber: https://siakapkeli.my/2022/02/06/datang-dari-jauh-semata-nak-tawar-bantuan-kenali-ali-sahraoui-antara-hero-misi-penyelamatan-rayan/

COMMENTS