Ramai yang ‘melopong’ apabila wang kertas RM1 bermula dengan nombor siri CR7200000 ditandatangani Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman boleh mencecah harga RM6,000 sekeping.
Begitu juga wang syiling edisi terhad 10 sen keluaran tahun 1971 boleh mencecah RM500 sekeping di pasaran.
Apa yang pasti nilai mata wang lama ini boleh mencecah ratusan ribu ringgit jika koleksinya adalah pengeluaran terhad dan sangat sukar diperolehi.
Pakar Numismatik Malaysia, Dickson Niew berkata, ramai yang tidak menyedari wang lama menjadi buruan berikutan boleh dijadikan pelaburan berikutan nilainya tidak menyusut.
Menurutnya, pengumpulan wang lama ini pada asalnya adalah hobi pemimpin negara termasuk raja di seluruh dunia sebelum ia diikuti pengumpul dalam kalangan individu.
Dianggarkan purata kenaikan nilai wang lama ini mencecah 20 peratus setiap tahun. Trend ini meningkat sejak 1976 hingga 2016 dan tidak pernah turun.
Faktor penentuan nilai wang lama itu bergantung kepada kondisi kualiti, edisi jarang jumpa, keluaran terhad, nombor siri cantik, wang gantian dan penilaian gred dari Paper Money Guaranty (PMG) serta Numismatic Guaranty Corporation (NGC).
“Wang lama yang menjadi buruan ialah jenis susah dapat dan jarang jumpa seperti edisi perkataan Sa-Ribu Ringgit tanda tangan Tun Ismail Mohamed Ali yang dikeluarkan pada 1968 dan harganya sekarang boleh cecah RM120,000 sekeping kalau tak pernah dilipat langsung.
“Edisi terhad seperti 10 sen keluaran 1971 yang hanya ditempa 32,000 keping juga antara menjadi buruan dengan harga boleh mencecah RM500 sekeping pada hari ini,” katanya.
Ini bermakna, kalau tak pernah diedar dan masih dalam keadaan elok termasuk tiada lipatan atau kurang lipatan maka nilainya boleh mencecah lagi tinggi
Dalam keadaan tertentu wang lama menjadi rebutan disebabkan ralat semasa proses pengeluaran seperti tersalah cetakan atau terlepas edaran serta tempoh masa jawatan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) singkat.
Misalnya, wang kertas RM1 bermula dengan nombor siri CR7200000 yang ditandatangani Tan Sri Ali Abul Hassan Sulaiman pada 1999 ditarik balik oleh BNM, tetapi ada terlepas 50,000 keping di pasaran.
(Wang RM1) ini ramai orang cari kerana tempoh beliau pegang jawatan singkat iaitu antara September 1998 hingga April 2000, maka wang RM1 zaman itu harganya mencecah RM6,000 sekeping, lipat sekali (RM3,000) manakala lipat dua kali (RM2,000).
Selain itu, syiling 50 sen (bahagian sisi milled edge sepatutnya security edge) 1967 hingga 1969 disebabkan kesilapan ketika proses tempa di Kilang Royal Mint United Kingdom.
Katanya, wang lama juga tidak digalakkan dicuci kerana boleh mengubah kondisi asalnya sekali gus mempengaruhi nilainya.
“Memang ada bahan kimia khas bagi membersihkan wang lama seperti wang kertas, tetapi kita lebih melihat keasliannya walaupun rupanya buruk tetapi menarik dan bernilai berbanding sudah dibersihkan,” katanya.