Siasat rasuah dalam LimKokWing University,Mp bangi dituntut RM50 juta

Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming mempertahankan tindakan beliau yang meminta agar kerajaan menjalankan siasatan terhadap dakwaan wujudnya unsur rasuah dalam pengurusan LimKokWing University of Creative Technology (LCUT).

Menurutnya, beliau sama sekali tidak akan memohon maaf mahupun membayar sejumlah RM50 juta seperti dituntut peguam yang mewakili Naib Presiden Kanan Universiti tersebut, Datuk Gail Phang.

Menerusi surat tuntutan yang diterimanya melalui pejabat DAP pada 4 September lalu, Ong memberitahu bahawa beliau perlu membayar pampasan dan ganti rugi kerana telah mengulang Tweet fitnah terhadap Gail.

“Saya tidak menyatakan bersetuju atau tidak setuju dengan dakwaan oleh @IamTheAdeline yang saya ulang kicau.

“Saya ‘retweet’ @IamTheAdeline untuk menekankan konteks kepada tuduhan yang ditimbulkan supaya pihak bertanggungjawab di Malaysia dapat mengambil tindakan terhadap kes ini dan melakukan siasatan yang sepatutnya.

“Setahu saya, ini adalah kali pertama pihak di Malaysia cuba untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang Ahli Parlimen berhubung tweet / retweet yang melibatkan isu kepentingan awam.

“Saya tidak akan memohon maaf atas tweet dan kenyataan umum mengenai LCUT dan pengurusan kanan mereka kerana saya yakin isu yang dikemukakan adalah masalah kepentingan awam dan selaras dengan peranan saya sebagai MP yang secara konsisten mempertahankan perkara berkaitan dengan Pengajian Tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, pengguna @IamTheAdeline membuat satu Tweet yang menarik perhatian ahli Parlimen DAP itu.

“Oleh itu, TS Limkokwing & Dato Gail, adakah anda cuba merapatkan jurang pendidikan di Afrika atau benar-benar memanfaatkan orang Afrika? Ini bukan persoalan retorik. Saya sebenarnya agak ingin tahu, adakah ini cara anda memberi wang haram (launder money) untuk ‘seseorang’?

Tweet tersebut kemudiannya diulang kicau Ong, dan berkata “Ini adalah tuduhan yang sangat serius terhadap kegiatan LIMKOKWING di Sierra Leone. Ini bukan kali pertama isu ini dilaporkan,” tulisnya.

Menerusi Retweetnya itu, beliau juga menyebut (mention) dua nama iaitu Menteri Pengajian Tinggi, (Datuk) Dr Noraini Ahmad (@drnorainiahmad) dan pegawai di Kementerian Pengajian Tinggi (@MOHEOfficial).

Beliau turut memaklumkan telah mengarahkan peguamnya, Syahredzan Johan, untuk membalas notis yang dikeluarkan oleh peguam Gail Phang dan menyatakan keputusannya mengenai notis undang-undang yang dikeluarkan.

“Sebagai Ahli Parlimen, adalah hak dan kewajiban saya untuk mengemukakan isu-isu ini sehingga mendapat perhatian pegawai atasan dalam kerajaan.

“Sebarang tuduhan rasuah terhadap pengasas dan pengurusan kanan sesebuah Universiti Malaysia yang terkenal di luar negara akan memberi kesan serius kepada penjenamaan universiti-universiti Malaysia di negara lain,” katanya lagi.