Siasat segera kehilangan dana RM1 bilion projek kapal tempur TLDM

Bekas Timbalan Menteri Pertahanan, Senator Liew Chin Tong menggesa kerajaan menyiasat kehilangan dana RM1 bilion dan segera membuat keputusan berhubung kapal tempur pesisir (Littoral Combat Ship, LCS), untuk kegunaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Menurut Pengarah Strategik DAP berkenaan, Perikatan Nasional (PN) sehingga hari ini masih belum lagi mengumumkan keputusan yang jelas bagi menentukan hala tuju projek tersebut.

Walhal katanya, Timbalan Menteri Pertahanan PN ketika ini telah bersetuju dengan cadangan yang diputuskan Pakatan Harapan (PH) pada Februari lalu, dan menyatakan bahawa pihak kerajaan akan mempertimbangkannya.

Untuk rekod, PH telah memutuskan perlunya untuk menyiasat dakwaan kehilangan dana melalui audit forensik, mengembalikan dana tersebut, dan seterusnya mempertimbangkan suntikan dana untuk menyelamatkan projek terbabit.

“Namun, apa yang menjadi persoalan ialah cadangan ‘realistik’ kerajaan Perikatan Nasional untuk menyasarkan hanya dua buah kapal disiapkan sedangkan sejumlah RM6 bilion telah dibayar.

“Jumlah ini adalah dua pertiga daripada nilai siling RM9 bilion. Dengan jumlah ini, sepatutnya empat buah kapal sudah siap.

“Saya ingin menyarankan sekali lagi kepada pihak kerajaan supaya tidak lagi berlengah dan membuat keputusan dengan cepat dan tepat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Pada masa sama, Chin Tong berkata, dakwaan kehilangan dana berjumlah RM1 bilion daripada projek LCS adalah amat serius dan perlu disiasat supaya projek tersebut segera selesai.

Malah kata Pengerusi DAP Johor itu, setelah pihak-pihak terlibat dibawa ke muka pengadilan, kerajaan wajar mempertimbangkan suntikan dana demi memastikan projek tersebut boleh disiapkan bagi kegunaan TLDM.

“Selagi mana tiada keputusan jelas dapat dicapai, selagi itulah kapal-kapal ini akan mengalami kelewatan,” kata Chin Tong lagi.

Kapal tempur pesisir (LCS) dilengkapi persenjataan untuk empat dimensi peperangan iaitu anti udara, anti permukaan laut atau air, anti kapal selam dan peperangan elektronik.

COMMENTS