Sidang khas parlimen diadakan pada 18 Ogos ini, kata laporan

Satu mesyuarat khas Parlimen difahamkan akan diadakan pada 18 Ogos ini.

Sumber seorang Ahli Parlimen memberitahu sidang khas tersebut adalah untuk membentang, membahas dan memutuskan usul undi percaya terhadap Perdana Menteri.

Menurutnya, Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Md Yasin juga akan mengadakan perutusan khas dalam tempoh terdekat.

“Kalau tidak, kemungkinan besar beliau akan letak jawatan sebelum 18 Ogos dan minta bubar Parlimen.

“Selepas itu terserah kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya lagi.

Semalam, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd. Rashid Hasnon berkata, pihaknya belum menerima usul undi percaya terhadap Mahiaddin.

Namun, katanya, kerajaan masih ada masa untuk mengusulkan perkara tersebut.

“Bagi usul kerajaan tempoh penghantarannya tidak terlalu jauh dari tarikh persidangan berbanding usul peribadi yang perlu dihantar dalam tempoh 14 hari sebelum bersidang,” lapor Bernama.

Sebelum ini, Ahli-Ahli Parlimen blok pembangkang menuntut satu mesyuarat khas Parlimen mesti diadakan sesegera mungkin.

Mereka menolak penentuan keabsahan Mahiaddin sebagai Perdana Menteri serta kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) menerusi usul undi percaya yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat, September ini.

sumber : https://malaysiadateline.com/sidang-khas-parlimen-18-ogos-ini/

baca juga : Makin kritikal, semua pemimpin PN diarah hadir ke rumah Muhyiddin hari ini