SIDANG media Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini sedikit lain.
Seperti yang dipetik oleh utusanTV, kedengaran nada bakal Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman itu cukup tegas, lebih tegas dari kebiasaan.
Semuanya berkaitan perkembangan kes Long Tiger yang lolos dari lokap mahkamah Tangkak dua minggu lalu.
Cerita penangkapan semula lelaki Myanmar itu setelah melarikan diri pada 15 Disember lalu memang ditunggu wartawan hari ini.
Soal ke mana Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim yang berdepan dua pertuduhan jenayah mahu melarikan diri atau siapa yang membantu antara intipati penting sidang media itu.
Namun pada masa sama, Ketua Polis Johor itu yang terkenal dengan ketegasannya dalam integriti pasukan juga menyebut soal siasatan terhadap anggota serta pegawainya.
Ini bukan sahaja membabitkan empat orang polis iaitu seorang sarjan dan tiga koperal yang mengawal Long Tiger ketika lolos dari lokap yang kini ditahan kerja sementara menanti siasatan lanjut.
Bahkan, Ketua Polis Daerah, Ketua Balai Polis dan seorang Inspektor Ketenteraman Awam juga kata Ayob Khan, turut berdepan siasatan tatatertib.
Tegas beliau, siasatan ini berdasarkan aspek penyeliaan dan setelah siap, perkara ini akan dirujuk kepada Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman untuk tindakan susulan.
“Seperti mana yang saya dok tekankan, di Johor kita beri perhatian khusus kepada aspek kebertanggungjawaban dan penyeliaan Ketua Polis Daerah.
“Mereka sepatutnya memeriksa dan menyelia lokap-lokap,” katanya dalam sidang media di IPK Johor.
Tambah Ayob Khan, siasatan aspek kecuaian dan penyeliaan turut dijalankan secara terperinci dalam kes ini kerana prosedur operasi standard (SOP) dalam perkara ini sudah ada.
“Tindakan tataterib akan diambil ke atas OCPD dan Ketua Balai Polis (jika wujud aspek kecuaian),” tegasnya.
Berhubung empat anggota polis yang terlibat langsung ketika suspek bolos, kata Ayob Khan, jika siasatan mendapati ada antara mereka yang terlibat, pertuduhan di mahkamah akan dibuat.
“Kita siasat mereka bawah Seksyen 223 Kanun Keseksaan iaitu sehingga OKT melarikan diri.
“Kes ini serius tuan-tuan kerana menyebabkan pembolosan.
“Walaupun belum dituduh dengan masih di peringkat siasatan, mereka sudah ditahan kerja,” tegasnya.
Kebiasannya kata beliau, tindakan menahan kerja anggota atau pegawai hanya dilakukan setelah pertuduhan di mahakamh dilakukan.
Dalam sidang media itu, Ayob Khan juga menyentuh soal kecuaian sehingga menyebabkan maklumat arahannya bocor kepada orang awam pada 16 Disember lalu.
Dan kata Ayob, yang terlibat diambil tindakan dalam isu ini ialah seorang koperal dan pegawai berpangkat Senior Asisten Komisioner (SAC).
“Sama ada orang awam atau polis yang terlibat menyebarkan benda-benda sulit, saya akan ambil tindakan.
“Tak kiralah pangkat apa pun. Yang saya siasat ini pangkat SAC. Kita buka siasatan di bawah Seksyen 203 Kanun Keseksaan babit kesalahan dedah maklumat sulit.
“Sabit kesalahan boleh dipenjara setahun atau denda sehingga RM1 juta,” tegasnya.
Dalam sidang media itu, beliau memaklumkan pihaknya mengesan seorang pemilik Facebook yang juga bekas anggota polis yang terlibat menularkan gambar tangkapan suspek semalam.
“Saya akan ambil tindakan, hentikan nak tularkan operasi polis sehingga jejaskan siasatan kita.
“Dapat dikesan, kita tangkap. Tiada tolak ansur. Jangan buat kerja ini,” katanya.