Sijil tak laku, 800 pelajar asing dalam dilema bila kursus 5 tahun diambil tidak diiktiraf

Sijil tak laku, 800 pelajar asing dalam dilema bila kursus 5 tahun diambil tidak diiktiraf

Muhammed, pelajar asing, yang datang ke Malaysia pada 2019 untuk melanjutkan pengajian dalam jurusan pentadbiran perniagaan di sebuah universiti swasta utama di sini, dengan harapan dapat meraih kejayaan apabila pulang ke negara asal.

Namun, setahun kemudian, akreditasi kursus itu ditarik balik.

Sekarang, walaupun Muhammed menamatkan pengajian, beliau hanya akan memiliki sijil tidak bernilai. Tetapi beliau tidak bersendirian.

Kira-kira 800 pelajar asing dan tempatan di universiti itu menerima nasib sama, selepas ia tidak mendapat akreditasi untuk banyak kursus ditawarkan.

Kumpulan pelajar itu berkata, akreditasi tersebut ditarik balik Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) kerana gagal mengekalkan kualiti dan standard tertentu yang diperlukan pihak berkuasa.

Dalam sidang media di Ibu Pejabat DAP hari ini, Muhammed berkata, kursus yang diambilnya pada mulanya diperakui, tetapi akreditasinya dibatalkan setahun kemudian, pada 2020.

“Hanya ketika semester terakhir, saya mendapati universiti gagal mendapat akreditasi. Mereka memaklumkan saya boleh menamatkan kursus itu, tetapi tanpa akreditasi.

“Pengurusan universiti meminta saya mendapatkan sijil lain, tetapi mereka tidak tahu program apa yang harus kami ambil.”

Beliau berkata, universiti itu menarik ratusan pelajar asing setiap tahun, yang kemudian mengetahui sesetengah kursus mereka tidak diiktiraf.

Tanpa akreditasi, ijazah mereka tidak diiktiraf di dalam atau luar negara.

“Ini bermakna yuran pengajian kami dan masa yang dihabiskan untuk belajar, dari tiga hingga lima tahun, semuanya sia-sia.”

Katanya, pelajar asing juga menghadapi masalah melanjutkan visa mereka selepas akreditasi dibatalkan.

“Kami tidak pasti sama ada kami boleh kembali akibat sekatan Covid. Kami tidak tahu jika universiti dapat memberikan sijil diiktiraf untuk kursus kami.”

Seorang pelajar tempatan, Muhammad Ameer Fakhri mengikuti kursus sains komputer di universiti sama, tetapi diminta menukar ke kursus komputer mudah alih.

“Mereka beritahu saya, ini akan memberikan prospek pekerjaan lebih baik. Saya menukar kursus saya atas nasihat mereka, tetapi mendapati kursus itu tidak diiktiraf.”

“Semua pelajar terus mendesak untuk mendapatkan akreditasi itu, tetapi gagal. Mereka menasihatkan kami supaya tidak risau, mereka terus memberi harapan palsu kepada kami.”

Bekas timbalan menteri pendidikan, Teo Nie Ching berkata, secara amnya, MQA akan menolak atau membatalkan akreditasi sesuatu kursus, jika ia tidak dijalankan mengikut sukatan pelajaran atau kakitangan akademik tidak berkelayakan.

Beliau meminta universiti mengambil tindakan pembetulan dan menambah baik standardnya.

“Kementerian Pengajian Tinggi boleh mengarahkan pelajar terjejas mengikuti kursus lain atau belajar di institusi lain. Kosnya perlu ditanggung universiti itu, bukan pelajar terbabit,” katanya dalam sidang media.

Buat masa ini, katanya, sijil yang diberikan universiti itu tidak bernilai.

“Pelajar mungkin tidak dapat mencari pekerjaan.”

Peguam, Syahredzan Johan berkata, pelajar mengharapkan penyelesaian dan mereka boleh menyaman universiti itu, jika masalah berkenaan tidak diselesaikan.

“Kira-kira 800 pelajar antarabangsa terjejas dan mereka boleh menyaman.

“Lebih ramai pelajar juga akan tampil membangkitkan masalah ini,” katanya dalam sidang media.

Berita penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/05/03/sijil-tinggal-kertas-800-pelajar-asing-buntu-kursus-tak-diiktiraf/

COMMENTS