Sindiket nikah tanpa tauliah ‘Ustaz Zul’ akhirnya tumpas. Selalunya pasangan yang menggunakan khidmat ini adalah lelaki yang mahu berpoligami atau pasangan yang tidak mahu menghabiskan masa untuk prosedur nikah yang perlu dijalankan di Malaysia.
Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menumpaskan sindiket nikah tanpa tauliah dengan menggunakan surat nikah Thailand disyaki palsu di kawasan Chepor di sini, baru-baru ini.
Serbuan kira-kira jam 9.30 malam yang dilakukan Bahagian Penguatkuasaan Undang-undang Syariah itu membawa kepada penahanan lelaki dikenali ‘Ustaz Zul’ berusia 50 tahun.
Pengarah JAIPk, Datuk Mohd Yusop Husin berkata, hasil serbuan pihaknya telah menahan 16 individu termasuk isteri dan anak kepada lelaki terbabit yang mendakwa dirinya sebagai jurunikah bertauliah.
Nikah tanpa pengetahuan isteri pertama
“‘Ustaz Zul’ ditahan ketika sedang menikahkan sepasang pengantin yang berasal dari Klebang di sini.
“Pernikahan tersebut yang dibuat tanpa melalui prosedur yang betul kerana ingin mengelak daripada pengetahuan isteri pertama,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.
Caj RM4,500 hingga RM6,000 dan guna surat nikah Thailand
Menurutnya, sebanyak 15 keping surat nikah Thailand atas nama pelbagai pasangan telah dirampas dalam serbuan tersebut.
“Siasatan awal mendapati sindiket itu mengenakan bayaran antara RM4,500 hingga RM6,000 untuk menguruskan pernikahan secara rahsia dan menggunakan surat nikah Thailand untuk mengaburi mata pihak berkuasa.
“Kes disiasat dibawah Seksyen 40 Enakmen Keluarga Islam (Perak) 2004 kerana kesalahan akad nikah tanpa kebenaran yang memperuntukkan hukuman denda dan penjara,” katanya, seperti dilaporkan Sinar Harian.
Baca Juga: Wanita niat simpan baju sanding harga RM8,000, kecewa ditinggal kekasih tiga minggu sebelum majlis
Baca Juga: Khalid bawa 180 anak muda Shah Alam tonton Mat Kilau, menentang kezaliman