Siti Nurhaliza bakal bergelar Biduanita Negara?

Inisiatif untuk menganugerahkan gelaran Biduanita Negara kepada penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza, menunjukkan perkembangan positif apabila kerajaan memulakan langkah pertama untuk merealisasikan hasrat tersebut.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, telah mengumumkan bahawa fasa awal untuk memberikan pengiktirafan tersebut telah dilaksanakan.

Bagaimanapun, Fahmi tidak mendedahkan butiran terperinci mengenai prosedur penganugerahan dibuat.

“Perkara ini dalam proses perbincangan dalaman. Jadi, belum sesuai untuk saya kongsi butiran lanjut.

“Tapi, saya nampak mungkin kami cuba lihat apa yang boleh dilakukan untuk mempercepatkan proses ini,” katanya.

“Saya tak akan komen lebih. Cuma, saya ada bangkitkan dan kena ikut proses, mungkin akan mengambil masa,” katanya ketika ditemui pada Majlis Apresiasi Media Bersama Fahmi Fadzil di sebuah hotel di ibu negara, kelmarin.

Pada mulanya, usul untuk memberikan gelaran Biduanita Negara kepada Siti muncul selepas kejayaan penyanyi “Aku Bidadari Syurgamu” tersebut mengadakan konsert “Sebuah Epitome: Saya Siti Nurhaliza” pada bulan Mac yang lalu.

Untuk rekod, gelaran Biduanita Negara buat masa ini hanya diberikan kepada dua penyanyi iaitu Allahyarham Puan Sri Saloma dan Allahyarham Datuk Sharifah Aini.

Baca juga: Anak saudara ‘gigit jari’, makcik bergelar jutawan wasiat RM 25.59 juta kepada pekerja