SKMM kena belasah dengan netizen, cuba padam kritikan rakyat pada kerajaan

Kerajaan dilihat tidak senang dengan kritikan rakyat susulan cara mereka menangani banjir dengan menggunakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), meminta Twitter memadam beberapa ciapan didakwa ‘melanggar undang-undang Malaysia’.

Setiausaha politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri Syahredzan Johan, berkata walaupun pihak Twitter menolak permintaan SKMM, namun tindakan seumpama itu perlu dikecam.

Katanya, tindakan berkenaan juga telah disahkan pihak SKMM sendiri.

“SKMM masih menggunakan ‘playbook’ sama seperti Kerajaan BN (Barisan Nasional) sebelum ini, iaitu dengan membungkam suara rakyat yang kritikal terhadap pemerintah.

“Kerajaan dan SKMM diingatkan bahawa kebebasan bersuara dan mengeluarkan pendapat adalah hak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. Hak ini tidak boleh disekat dengan sewenang-wenangnya mengikut selera pemerintah,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, kerajaan sepatutnya bermuhasabah dan memperbaiki kelemahan dalam kesiapsiagaan menghadapi bencana seperti banjir yang berlaku, baru-baru ini agar perkara sama tidak berulang kembali.

“…dan bukan melakukan perkara yang bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Dalam laporan Bernama, pada 21 Dis, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakop, berkata “Saya tidak menyalahkan netizen membuat aduan, saya berterima kasih kerana terus mengadu kepada saya,” katanya.

Beliau juga dilaporkan, berkata tidak menafikan terdapat kelemahan dalam pengurusan banjir terutamanya di Selangor dan ia akan ditambah baik dari semasa ke semasa.

-FMT-