Solat hajat, bacaan Yasin di semua masjid di Pahang doakan Agong sembuh

Semua masjid di Pahang dititah mengadakan solat hajat, bacaan Yasin, tahlil dan doa selamat untuk mendoakan kesembuhan segera Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Pengelola Bijaya Diraja Sultan Pahang, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman, berkata Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah, menitahkan supaya majlis itu diadakan selepas solat maghrib, hari ini.

“Tengku Hassanal juga berkenan supaya solat hajat bagi mendoakan kesembuhan segera dan semoga Seri Paduka dikurniakan kesihatan yang baik berpanjangan, diadakan selepas solat Jumaat, esok.

“Semoga Allah juga melindungi negara dan Pahang daripada segala bencana, wabak, malapetaka serta huru-hara,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Kelmarin, Istana Negara mengesahkan Al-Sultan Abdullah yang juga Sultan Pahang, dimasukkan ke Wad Diraja IJN selepas berasa kurang selesa dengan kesihatan, namun Seri Paduka tidak berada dalam keadaan membimbangkan.