Stor haram simpan diesel diserbu, 4 ditahan ketika cuba pindahkan diesel berharga RM269,912

Stor haram simpan diesel diserbu, 4 ditahan ketika cuba pindahkan diesel berharga RM269,912. Serbuan pada 5.30 petang itu menemukan 31,215 liter diesel bersubdisi dan menahan empat lelaki berusia antara 29 hingga 42 tahun.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan berjaya mematahkan sindiket penyelewengan diesel, susulan serbuan di stor haram di Kampung Bemban Hilir, di sini semalam lapor Harian Metro.

Ketua Pegawai Penguat kuasa KPDNHEP negeri, Abd Muis Samsudin berkata, ketika premis diserbu, semua suspek dilihat sedang memindahkan diesel daripada lori tangki dan lori ‘bonded’ ke dalam tangki minyak di stor itu.

Premis tiada lesen sah

“Mereka cuba melarikan diri namun dapat ditahan dan pemeriksaan menemui 11 tangki petak dan seunit ‘skid tank’ berisi diesel yang dipindahkan daripada lori dengan jumlah 31,215 liter.

“Semakan turut mendapati premis itu tidak mempunyai lesen sah mahupun dokumen kebenaran untuk urusan barang kawalan.

“Kesemua diesel, tangki dan dua lori disita dengan nilai rampasan berjumlah RM269,912.25,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Abd Muis berkata, serbuan itu hasil risikan susulan aduan mengenai kegiatan pembelian diesel di stesen minyak sekitar Seremban.

“Mereka disyaki melakukan aktiviti penghantaran dan penyimpanan di stor itu kerana kedudukannya dan sudah beroperasi sejak enam bulan lalu,” katanya.

Menurutnya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Bekalan 1961 dan Seksyen 20 (1) akta sama kerana menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan.

Baca Juga: Denda RM2,246.98 jika pakai bikini di pantai, tidak mahu penduduk tempatan tidak selesa

Baca Juga: Harga minyak masak botol wajar diturunkan segera selaras kejatuhan harga sawit BTS