Suami bongkar kisah menyayat hati isterinya maut selepas buat rawatan besarkan payudara

Bagi wanita, payudara merupakan aset daya penarik mereka. Memiliki sepasang payudara yang menarik membantu untuk meningkatkan keyakinan serta membuang sebarang rasa rendah diri.

Namun tidak semua bertuah untuk memiliki sepasang payudara yang sempurna. Untuk mengatasi masalah payudara yang kurang sempurna, rawatan dan kaedah yang mengunakan filler dapat memberikan bentuk serta kontur payudara idaman.

Walaubagaimanapun, harus diingat, prosedur rawatan membesarkan hendaklah dilakukan oleh pakar yang berpengalaman dan berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia bagi mengelakkan pesakit menerima rawatan yang betul dan selamat.

Ia susulan kejadian yang menimpa seorang suri rumah yang maut baru-baru ini gara-gara mendapatkan rawatan membesarkan payudaranya menerusi khidmat perawat kecantikan palsu.

Memetik Kosmo!Online, kejadian yang berlaku di Johor itu membabitkan seorang perawat kecantikan yang didakwa menjalankan prosedur pembedahan payudara seorang suri rumah berumur 29 tahun.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah menjalankan siasatan dan mencari individu berkaitan berhubung kejadian tersebut.

Menurut beliau, pihaknya juga telah menyerbu premis kediaman yang beralamat di Taman Mutiara Rini, Skudai di sini namun individu bertanggungjawab masih gagal dikesan.

“Nombor telefon peribadi dan juga akaun media sosial perawat kecantikan itu juga sudah dipadamkan, menyebabkan usaha mencari individu berkenaan bertemu jalan buntu.

“Sehubungan itu, pihak berkuasa memberi individu berkenaan tempoh satu minggu untuk tampil dan membantu siasatan yang dijalankan JKNJ. Selain itu, kami juga meminta kerjasama awam dalam menyalurkan maklumat berkaitan wanita berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis penyerahan peruntukan kerajaan negeri kepada sekolah-sekolah jenis kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan Foon Yew, di sini hari ini.

Tambah Tian Soon, jika individu terbabit masih berdegil dan enggan memberikan kerjasama, pihaknya akan meminta bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengesan dan menahan wanita berkenaan.

“Siasatan awal mendapati premis rawatan kecantikan itu tidak berlesen dan kediaman tersebut disewa sebelum dijadikan pusat rawatan kecantikan tidak berlesen,” ujarnya.

Pada 29 Julai lalu, seorang surirumah, Tan Wei Shan, dilaporkan maut selepas menjalani prosedur membesarkan payudara di premis berkenaan pada 29 Julai lalu.

Menurut suami mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 35, isterinya mula berasa tidak sihat dan pening kepala selepas menjalani prosedur berkenaan.

“Dia mengadu berasa sakit dan bengkak di bahagian dadanya. Petang esoknya, isteri saya mengunjungi sebuah klinik sebelum dikejarkan ke sebuah hospital swasta untuk mendapatkan rawatan sekitar pukul 7 malam.

“Akibat sakit yang dialami, dia dilaporkan telah meninggal dunia pada pukul 7 malam, 2 Ogos lalu,” katanya.

Baca juga: ‘Saya tidak pernah keluar mencari mereka namun mereka hadir dalam hidup saya’-Engku Emran titip penghargaan buat bekas isterinya