Suami isteri ditahan beli 28 bungkus daun ketum

Suami isteri ditahan beli 28 bungkus daun ketum. Dianggarkan 209.8 kilogram daun ketum dibeli pasangan terbabit dalam serbuan sebuah rumah di Bendang Sungai Kerang, Mukim Sungai Durian, Jejawi .

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, pasangan berusia 45 tahun yang berasal dari Kuantan, Pahang itu ditahan kira-kira jam 2.45 petang bersama daun ketum bernilai RM3,147.

Memetik Harian Metro, seorang lelaki warga emas berusia 61 tahun berperanan sebagai penjual turut ditahan dalam serbuan itu.

“Anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis (IPD) Perak Tengah ternampak dua lelaki dalam keadaan mencurigakan cuba untuk menutup but pacuan empat roda jenis Isuzu.

“Terdapat seorang wanita yang merupakan isteri kepada salah seorang suspek duduk di bahagian penumpang hadapan kenderaan tersebut.

“Pemeriksaan lanjut pada kenderaan tersebut menemui 28 bungkusan plastik berwarna hitam didalamnya mengandungi daun-daun hijau disyaki daun ketum,” katanya.

Barudin berkata, siasatan awal mendapati penjual mendapatkan bekalan daun ketum tersebut daripada individu lain yang dikenali sebagai ‘Pak Awang’.

“Pasangan terbabit mendapatkan bekalan daun itu untuk dijual sekitar Pahang. Polis sedang berusaha mengesan ‘Pak Awang’ yang dipercayai tinggal di kawasan Kampung Sungai Kerang, Teluk Intan.

“Ujian saringan awal urin mendapati ketiga-tiga suspek negatif dadah dan siasatan lanjut mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai rekod lampau bersabit kes ketum,” katanya.

Kes ini disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Baca Juga: Wanita mahu bercerai sebab suami besarkan zakar

Baca Juga: Dibenar diami flat hingga Julai, penduduk Kg Sg Baru tetap tak puas hati, lancar petisyen desak batalkan warta segera