“Suami ketawakan saya bila tengok gaji saya ada baki RM20 je, siap cakap bukan masalah dia”

Zaman sekarang ini memang segalanya memerlukan duit. Tetapi, hari ini masih ramai yang dibayar dengan gaji yang sangat rendah sehingga terpaksa berjimat cermat. Seorang wanita telah berkongsi cerita tentang gajinya sangat sedikit sehingga hanya berbaki RM20 sahaja pada hujung bulan manakala suaminya pula bergaji 5 angka. Meskipun bergaji besar dia tidak dapat menggunakan duit gajinya dek kerana membayar komitmen.

Ikuti cerita ini. Hi nama saya Ainina. Saya berkelulusan degree, suami juga berkelulusan degree. Saya bekerja sebagai officer dan bergaji underpaid, cumanya saya masih bertahan kerana tempat kerja dekat dengan taska anak dan rumah. Saya dan suami berkahwin pada 2018 selepas berkenalan selama 7 bulan di universiti. Masa tu tengah kemaruk bercinta. Sampai hari ni saya masih cintakan dia. Suami saya seorang yang cool, tenang, simple man. Dia sangat rajin bekerja, pada umur 30 tahun dia sudah basic bergaji 5 angka. Dia seorang jurutera di sebuah kilang kimia.

Nafkah setiap bulan dia beri pada saya ialah 800. Duit ni la saya beli makan tengah hari (hujung bulan saya akan bawa bekal). Saya beli makan malam  untuk satu keluarga kalau saya letih bekerja dan tak mampu nak masak. Malah duit ini juga ialah duit untuk saya beli barang keperluan untuk anak-anak juga. Bukan untuk saya sorang. Saya selalu minta suami naikkan nafkah kerana selepas tolak semua komitmen saya, baki dalam bank saya tinggal RM20 sahaja.

Tapi suami tetap rasakan itu masalah saya yang tidak bekerja sehebat dia. Komitmen saya ialah ptptn, mara, asnb, wifi di kampung orangtua saya, kereta, coway dan lain-lain lagi. Akibat selalu makan hati dan bergaduh kerana duit, hubungan kami jadi tak sebaik dulu. Saya rindu suami saya yang kelakar, happy. Salahkah seorang isteri meminta bantuan suaminya dari segi kewangan? Berdosakah saya meminta untuk dibantu? Saya juga letih menjaga anak yang sangat manja dengan saya. Sekurangnya jika saya ada duit lebih, boleh saya manjakan diri pergi spa, facial, shopping dan sebagainya.

Saya tak pernah luah masalah rumahtangga kepada sahabat-sahabat saya, saya seorang yang menghormati suami. Cuma saya pernah meluahkan rasa sedih di hati kepada ibu saya dan ibu saya menasihati untuk pulang kepangkuan keluarga. Mungkin ibu lihat saya sangat susah di negeri ini. Saya buntu. Untuk berbaik dengan suami, saya perlu redho dengan semua bebanan ini. Saya kecil hati, dengan gaji yang besar itu, tidak ada sekelumit kasihan langsungkah melihat isterinya yang bergaji b40 ini. Dia selalu ketawa lihat gaji saya.

Saya rasa terhina tapi saya pun ketawa juga sebab gaji saya memang kecil. Saya pernah ditawarkan bekerja di tempat lain dengan basic RM3500 tapi saya tolak kerana jauh dari rumah dan kawasan rumah kami selalu jem. Kalau diikutkan pasangan lain, suami bergaji 5 angka sebegini, saya mungkin surirumah sahaja. Tapi bukan saya. Saya pernah mengidam durian, suami tak endahkan pun. Katanya setiap kali musim durian kena craving durian ke?

Padahal kalau beli, dia yang laju makan durian, saya rasa seulas dua sahaja. Entah lah apa yang susah sangat. Saya pernah usulkan untuk berpisah cara baik sekurangnya saya tak perlu menjadi seorang isteri, hanya seorang ibu. Suami tak setuju, kerana dia cintakan saya dan saya juga cintakan dia. Cuma saya sedih. Perkahwinan sepatutnya gembira dan bahagia. Ada lagi, sebulan sekali suami akan belanja makan luar di restoran yang mahal. Saya memang seronok, yelah saya ni pergi kerja bawak bekal bila hujung bulan dan naik muak makan makanan sendiri.

Sebulan sekali merasa makan tempat mahal rasa seronok, dapat makan sedap-sedap. Namun setiap kali saya makan suami akan ungkit-ungkit dia yang belanja makan. Kecil hati saya. Kalau orang lain tengok mesti nampak bahagianya keluarga ni, suami bawa isteri dan anak-anak makan mewah tapi dalam hati, nak telan makanan pun rasa tersangkut dekat tekak. Sebenarnya banyak lagi kejadian kejadian sedih cuma saya dah tak ada masa nak taip lebih panjang. Mungkin sahabat fb boleh motivate saya untuk terus bertahan kerana saya sayangkan suami saya. Dan sejujurnya saya terlalu cantik untuk dia. Siapa cakap orang cantik dapat special treatment? Itu bukan saya selepas jadi seorang isteri. – Ainina (Bukan nama sebenar)

Baca juga: https://themalaysialife.com/tidak-lagi-menyanyi-dangdut-lepas-bertudung-cita-citata-ubah-genre-muzik/