Seorang wanita di negeri Uttar Pradesh, India telah dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana membakar suaminya empat tahun lalu disebabkan rasa muak terhadap wajah lelaki itu yang dianggap hodoh dan berkulit gelap.
Laman berita Odisha TV melaporkan bahawa tertuduh, Premshree, 26 tahun, telah berkahwin dengan mangsa, Satyaveer Singh.
Namun, wanita tersebut tidak menyukai penampilan suaminya, termasuk warna kulit lelaki itu yang gelap, yang menyebabkan dia sering meminta cerai daripada mangsa.
Walaupun sering menghadapi kekecewaan, mangsa tetap setia mempertahankan rumah tangga mereka sehingga pada November 2018, pasangan tersebut diberkati dengan kelahiran seorang anak perempuan.
Pada 15 April 2019, mangsa sedang tidur apabila tertuduh menyimbah minyak petrol ke atasnya dan kemudian membakarnya.
Mangsa dimasukkan ke hospital dalam keadaan kritikal, namun sayangnya, dia kemudian meninggal dunia akibat kecederaan yang dialaminya.
Mahkamah tempatan semalam mengesahkan laporan kematian mangsa kepada pihak polis, dengan menyebut isterinya sebagai suspek utama.
“Saya membawa isteri ke rumah ibu bapanya pada hari sebelum kejadian, lalu saya pulang ke rumah pada malam yang sama.
“Keesokan harinya ketika saya sedang tidur di rumah, isteri datang lalu membakar saya,” kata mangsa.
Tambahnya dalam kenyataan tersebut, isterinya tidak pernah mencintainya sejak mereka berkahwin disebabkan paras rupanya.
“Dia memberitahu bahawa kulit saya amat gelap dan meminta saya meninggalkannya atau dia akan membakar saya,” kata mangsa sebelum menghembuskan nafas terakhir.
Baca juga: Tular wanita Palestin didakwa buat kecoh, siap baling selipar pada pengawal!