Sudah usia 74 Tahun, Anwar kata tak apalah tak jadi PM pun

Presiden PKR Anwar Ibrahim hari ini berkata dia sekadar menerima dan menyerahkan kepada takdir sama ada dia akan menjadi perdana menteri suatu hari nanti atau kekal sebagai ketua pembangkang.

Anwar, 74, berkata demikian dalam wawancara dengan Radio ABC Australia ketika dia ditanya apakah dia masih percaya dia boleh menjadi perdana menteri suatu hari nanti.

“Jika melihat kes seperti Kertas Pandora, itu (menjadi perdana menteri) hanya akan menjadikannya lebih mencabar dan sukar.

“Keseluruhan alat kuasa, elit politik, konglomerat dan media akan menolong anda. Oleh itu, saya tidak bimbang tentang perkara itu (menjadi perdana menteri atau tidak suatu hari nanti).

“Saya hanya menjalankan tugas saya, que serĂ¡ serĂ¡ (apa yang hendak terjadi akan terjadi). Sekiranya saya terus menjadi ketua pembangkang, saya terima. Sekiranya saya menjadi perdana menteri, saya akan mengucapkan syukur kepada Tuhan,” kata Anwar.

Anwar telah dua kali hampir menjadi perdana menteri – pertama kali ketika menjadi timbalan perdana menteri pada 1990-an dan seterusnya sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan bagi menggantikan Dr Mahathir Mohamad pada pertengahan tahun 2018 hingga awal 2020.

Dalam percubaan pertamanya, dia dipecat dari kabinet oleh perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.

Kali kedua, yang melibatkan Mahathir berjanji secara bertulis untuk menyerahkan jawatan itu, gagal selepas kerajaan Pakatan Harapan (PH) digulingkan selepas Bersatu dan sekumpulan pemimpin PKR meninggalkan gabungan itu melalui ‘Langkah Sheraton’.

Mengulas isu lain, Anwar mengatakan keputusan Australia untuk membina kapal selam berkuasa nuklear dengan bantuan AS dan UK adalah satu bentuk provokasi.

Mengenai Kertas Pandora, Anwar mengatakan bahawa isu mengenai aliran keluar haram dan akaun bank rahsia bukanlah perkara baru.

Dia mengatakan bahawa pada tahun 2011, dia telah memberitahu kerajaan melalui Parlimen untuk menyiasat laporan Global Financial Integrity yang mendakwa terdapat aliran keluar haram sebanyak RM208 bilion ringgit.

“Saya mengemukakannya kepada perdana menteri ketika kami bertemu petang semalam. Dia bertanya apa lagi yang dapat dilakukan. Saya katakan kita mesti menjalankan siasatan penuh.

“Orang boleh mempunyai akaun di luar negara, tetapi jika anda adalah pegawai awam dengan ratusan juta disimpan di luar pesisir, anda mesti dipertanggungjawabkan,” kata Anwar.

Dia mengatakan adalah “tidak masuk akal” apabila pegawai awam dapat memiliki begitu banyak kekayaan di luar negeri pada saat terdapat tahap kemiskinan yang tinggi di negara ini.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/594680