Sultan Johor jemput Muhyiddin makan tengahari selepas sidang Dun Johor

Selepas sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Sultan Johor Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar berkenan menerima menghadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan menjemput ke santapan tengahari pada hari ini.

Pertemuan Perdana Menteri bersama Baginda Tuanku Sultan berlangsung di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.

“Saya menjemput beliau (Tan Sri Muhyiddin) untuk santapan tengah hari dan beliau turut mempersembahkan kepada saya mengenai perkembangan negara pada masa sekarang,” titah DYMM Sultan Johor kepada Royal Press Office (RPO).

Terdahulu, pagi tadi Muhyiddin yang juga ADUN Gambir menghadiri persidangan hari pertama DUN Johor yang berlangsung di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar.

Pembukaan Penggal Persidangan Ke Empat Dewan Negeri Johor Yang Ke Empat Belas pada hari ini dirasmikan oleh Baginda Tuanku Sultan.

sumber : https://www.agendadaily.com/isu-semasa/sultan-ibrahim-jemput-pm-ke-santapan-tengahari-di-istana-pasir-pelangi/