“Sultan Melaka” meninggal dunia di Hospital Selayang hari ini

Seorang ahli perniagaan yang pernah mencetuskan kontroversi dengan mendakwa dirinya Sultan Melaka, Noor Jan Tuah meninggal dunia 8 pagi tadi.

Presiden Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia, Abdul Rani Kulup Abdullah berkongsi berita itu di Facebooknya sebentar tadi.

Rani berkata, Noor Jan, 64, meninggal dunia di Hospital Selayang.

Beliau mengucapkan takziah kepada keluarga Noor Jan.

Menurut laporan Berita Harian, jenazah difahamkan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudhatul Sakinah, Taman Batu Muda, Kuala Lumpur petang tadi.

Ucapan takziah warganet tular di media sosial dan ada yang membuat hantaran dengan tanda pagar #covidfighter atas kematian Noor Jan yang berasal dari Taman Seri Gombak, dekat ibu negara.

Noor Jan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Air Keroh, Melaka pada 2016 atas empat pertuduhan menipu dan menyamar sebagai Sultan Melaka serta mengadakan majlis penganugerahan pingat, bintang dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf di sebuah resort di Alor Gajah pada 28 Dis 2013.

Mahkamah bagaimanapun melepas dan membebaskan lelaki itu daripada empat tuduhan terbabit pada Julai 2018.

Pihak pendakwaan kemudiannya memfailkan rayuan sebanyak dua kali, tetapi Mahkamah Tinggi Melaka dan Mahkamah Rayuan masing-masing mengekalkan pembebasan Noor Jan pada April 2019 serta Januari 2020.

sumber : https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/08/21/ahli-perniagaan-dakwa-diri-sultan-melaka-meninggal-dunia/