Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, memberi perkenan dan menyokong sepenuhnya keputusan Selangor FC untuk tidak menghadiri perlawanan Piala Sumbangsih 2024 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 10 Mei ini.
Baginda yang juga penaung Selangor FC menzahirkan kecewa apabila Liga Bolasepak Malaysia (MFL) tidak menuruti permohonan skuad Gergasi Merah untuk menangguhkan perlawanan.
Menurut Baginda, kejadian yang berlaku baru-baru ini terhadap Faisal Halim serta beberapa pegawai sepatutnya menjadi pengajaran untuk Selangor FC tidak menyertai perlawanan tersebut.
“Keutamaan ketika ini adalah nyawa serta keselamatan para pemain dan bukannya untuk memenangi piala berkenaan.
“Ia bukan sahaja isu keselamatan, keadaan moral pasukan yang masih terganggu dan terkesan dengan insiden simbah asid yang melibatkan pemain sayap, Faisal Halim juga harus diambil kira,” titah baginda menerusi satu kenyataan pada Khamis.
Selangor FC turut memohon penangguhan Piala Sumbangsih disebabkan kejadian yang berlaku selain menerima ugutan yang boleh menjejaskan keselamatan para pegawai.
Namun, MFL menolak permohonan tersebut, yang menyebabkan Selangor FC memutuskan untuk menarik diri dari pertandingan dengan mengambil kira insiden jenayah serta ancaman yang melibatkan beberapa pemain dan pegawai pasukan dalam tempoh 72 jam.
Baca juga: Sah! BERSATU hentikan keahlian 6 Ahli Parlimen sokong PM