MUNGKIN kerana tidak tahan ‘tekanan’ selepas mengalami kekalahan dalam perlawanan persahabatan sebanyak dua kali di Asia Barat, pemain kebangsaan Safawi Rashid dan pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh didapati bertumbuk dalam satu video.
Video Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dikongsi di saluran YouTube portal ‘Cakap Sukan’ itu jelas menunjukkan bagaimana Sumareh kelihatan memeluk kepala Safawi sehinggakan kedua-dua pemain tersebut jatuh di lantai sebuah dewan makan hotel.
Keadaan ‘tegang’ tersebut berjaya ditenangkan oleh rakan-rakan pemain kebangsaan dan juga para pegawai dari FAM yang berada di tempat kejadian, termasuk jurulatih pasukan kebangsaan Tan Cheng Hoe.
Bagaimanapun, ‘pergaduhan’ dua pemain hebat Harimau Malaya itu berakhir dengan satu majlis kejutan atau ‘prank’ hari jadi untuk Cheng Hoe yang menyambut ulang tahun kelahirannya hari ini (30 Mei).
“Saya ingat diaorang betul-betul bergaduh tadi,” kata Cheng Hoe dalam video tersebut yang mana para pemain dan pegawai menyampaikan kek dan menyanyikan lagu harijadi untuknya.
Skuad kendalian Cheng Hoe tewas 1-4 kepada Kuwait dalam aksi pemanas badan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) Ahad lepas sebelum tunduk 0-2 kepada Bahrain dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Nasional Bahrain, Riffa, semalam.
Dua perlawanan tersebut diadakan sebelum Malaysia memulakan kempen saingan Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 menentang UAE pada Khamis ini di Stadium Zabeel, Dubai.
sumber : https://utusantv.com/2021/05/30/safawi/