Sumber dalaman Umno sahkan nama Najib dihantar kepada Agong untuk jadi PM

Empat nama tersenarai sebagai calon UMNO untuk dilantik sebagai Perdana Menteri (PM) baharu yang diputuskan dalam Mesyuarat Biro Politik parti itu yang berlangsung hari ini, menurut sumber dalaman.

Nama yang berada dalam senarai tersebut adalah Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan bekas PM, Datuk Seri Najib Razak serta dua lagi nama iaitu, Naib Presiden, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah.

“Empat nama disenarai sebagai calon PM UMNO yang akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong dan dipersetujui dalam mesyuarat petang tadi,” kata sumber dalaman UMNO kepada Agenda Daily.

Keputusan tersebut bagaimanapun harus melalui parti dengan semua surat akuan (SD) tidak boleh dikumpul berasingan.

Jelas sumber lagi, apabila nama tersebut dihantar semua Ahli Parlimen (MP) UMNO dan Barisan Nasional wajib sokong penuh.

Untuk rekod, UMNO dan BN memiliki 42 MP dan kini terpecah kepada dua kumpulan besar yang menyokong Zahid dan Ismail Sabri.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menyerahkan surat peletakan jawatannya hari ini kepada Yang di-Pertuan Agong kini terserah kepada Seri Paduka untuk melantik PM baharu.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim kini juga sedang merayu supaya semua parti-parti dalam blok tersebut menyokongnya sebagai calon PM baharu, namun majoriti dimilikinya menjadi pertikaian.

Ketika ini, masih samar-samar individu yang memiliki majoriti terbesar untuk dilantik sebagai PM baharu.

sumber : https://www.agendadaily.com/politik/4-nama-calon-pm-pilihan-umno-termasuk-zahid-dan-najib/