Surat kelulusan projek pasir pemimpin Umno Melaka bocor, patutlah Idris mengamuk

Surat kelulusan projek pasir pemimpin Umno Melaka bocor, patutlah Idris mengamuk

Selepas tular klip audio yang mendakwa perbualan antara bekas EXCO Melaka, Datuk Seri Idris Haron dan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Yaakob, kini tular pula surat yang didakwa dikeluarkan pejabat Ketua Menteri Melaka berkaitan permohonan mengorek pasir.

Surat yang bertarikh 27 September 2021 itu merupakan kelulusan daripada Jabatan Ketua Menteri Melaka kepada sebuah syarikat enterprise berpejabat di Tanjung Bidara, Masjid Tanah.

Sumber memaklumkan kepada Agenda Daily bahawa pemimpin utama UMNO Melaka yang menjadi punca kemelut politik terbaharu turut mempunyai kaitan dengan syarikat berkenaan.

Individu tersebut didakwa menjadi punca rasa tidak puas hati empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) diketuai Idris sebelum ini yang menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Surat itu adalah berkaitan permohonan untuk mendapatkan permit mengeluarkan bahan batuan (pasir sungai) sebanyak 21,000 metrik tan (12,000 meter padu) di atas tanah rizab Jabatan Pengairan dan Saliran di Mukim Gadek, Alor Gajah, untuk tujuan jualan.

Menurut kandungan surat itu, mesyuarat Jawatankuasa Pecah Sempadan dan Belah Bahagi Tanah Negeri Melaka (JKBB) Bil 7/2021 yang bersidang pada 3 September 2021 telah bersetuju meluluskan permohonan itu

Antara lain syarikat itu dikenakan syarat:

Jumlah kuantiti: 21,000 metrik tan;
Tempoh: 6 bulan;
Kadar royalti: RM3 semetrik tan;
Bayaran royalti: RM63,000 (RM3 x 21 metrik tan);
Wang cagaran: RM12,600 (RM63,000 x 20%);
Bayaran kupon (doket): RM2,400 (48 buku x RM50); dan
Jumlah bayaran: RM78,000

Sebelum ini, Idris ketika mempertahankan tindakan menarik sokongan sehingga kerajaan UMNO Melaka tumbang turut membangkitkan isu berkaitan pasir dan royalti di negeri itu.

Media memetik Idris sebagai berkata:

“Kalau UMNO ini terus mempunyai pemimpin-pemimpin seperti yang ada pada hari ini, rakusnya diibaratkan makan itu tangan kanan dan kiri disuapkan ke mulut sambil mata menjeling lagi ke makanan lain di atas meja, yakni projek-projek ekonomi di negeri Melaka ini.

“Ribuan meter kubik pasir yang ditambak daripada tengah laut dibawa ke sini tapi diisytihar dengan jumlah yang rendah, menipu kerajaan Persekutuan dalam bentuk royalti, semuanya berlaku dengan jelas.”

Susulan itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertemu dengan Idris dan merakam percakapannya. Pengarah SPRM Melaka, Mohd Shahril Che Saad mengesahkan pertemuan selama dua jam dengan Idris tetapi tiada dokumen dirampas.

Terdahulu, tular di media sosial rakaman audio yang dikatakan mirip suara Idris dan Perdana Menteri berbual mengenai krisis politik di Melaka.

Dalam klip audio berdurasi lebih 7 minit itu kedua-duanya menggunakan kata ganti diri ‘aku’ dan ‘engkau’, selain nama Rauf turut disebut.

sumber : https://www.agendadaily.com/politik/krisis-melaka-tular-surat-kelulusan-korek-pasir-pemimpin-umno-pula/

COMMENTS