Surat MITI ini sahkan kilang eloktronik dibenarkan beroperasi dalam PKPD

Pekerja di sekurang-kurangnya dua kilang dan satu pejabat yang tidak termasuk dalam sektor perkhidmatan penting di kawasan dikuatkuasakan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Selangor, menerima surat yang membenarkan mereka beroperasi.

Perkara itu dimaklumkan oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), yang mendakwa surat itu dikeluarkan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) bertarikh 4 Julai dan membenarkan kilang dan pejabat terbabit beroperasi bermula 5 Julai.

Pengerusi MTUC Selangor dan Wilayah Persekutuan, Wan Noorulazhar Mohd Hanafiah berkata pihaknya dimaklumkan berkenaan perkara itu oleh pekerja dua kilang elektronik dan bahagian penyelidikan sebuah syarikat yang tidak termasuk dalam sektor perkhidmatan penting.

Dua kilang dan pejabat itu terletak di Klang dan Teluk Panglima Garang di Kuala Langat. Kedua-dua kawasan itu kini di bawah PKPD.

“Di sebuah kilang, pekerja pada mulanya disuruh masuk kerja lapan malam (semalam) tetapi pada jam dua petang (semalam), pihak pengurusan mesyuarat dan putuskan untuk tangguh dulu.

“Pekerja di sebuah kilang lagi diberitahu (semalam) untuk standby, pengurusan mesyuarat dan belum putuskan.

“Jadi pekerja tak senang duduk. Ada arahan panggil kerja, lepas itu tangguh dulu, kemudian (diminta) standby. Sepatutnya tak boleh (operasi) di kawasan PKPD,” katanya kepada Malaysiakini.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata hanya kilang makanan dan keperluan asas seperti beras, roti, gula, minyak masak, tepung gandum, susu segar dan susu tepung bayi, ubat dan topeng muka yang boleh beroperasi sepanjang penguatkuasaan PKPD di Selangor dan sejumlah kawasan di Kuala Lumpur mulai 3 Julai.

Malaysiakini telah menghubungi Ismal Sabri berhubung perkara ini.

‘Nak patuh yang mana satu?’

Antara surat yang dilihat Malaysiakini menyatakan sebuah kilang elektronik di Klang disahkan telah didaftar dalam Sistem Pengurusan Pintar Covid-19 3.0 (CIMS 3.0) kendalian Miti.

CIMS 3.0 berperanan untuk menyemak permohonan yang dibuat syarikat untuk beroperasi ketika “sekatan pergerakan penuh” yang bermula 1 Jun lalu.

Menurut surat bertarikh 4 Julai itu, di bawah CIMS 3.0, syarikat boleh beroperasi mulai 5 Julai dengan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang digariskan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Surat itu turut menyatakan Selangor kini dalam Fasa 1 PPN, justeru sektor swasta boleh beroperasi dengan kapasiti 60 peratus.

Wan Nooorulazhar berkata dia telah menghubungi polis untuk mendapatkan penjelasan tetapi dimaklumkan yang polis juga tidak tahu akan perkara itu dan mengesyaki surat itu sebagai palsu.

“Saya yakin (surat) tak palsu sebab ini bukan syarikat kecil.

“Mungkin (sistem) Miti terlepas keluar kebenaran sebab memang sudah ada dalam sistem CIMS3.0 (sejak sebelum pengumuman PKPD) tetapi saya harap perkara ini dijelaskan.

“Selangor di bawah PKPD jadi sudah bercanggah (dengan SOP). Jadi nak patuh dengan yang mana satu?” soalnya.

Semalam seorang pengguna media sosial turut mengongsikan surat sama yang dikeluarkan kepada majikan mereka – syarikat tersebut terlibat dalam sektor peruncitan yang juga bukan dalam kategori perkhidmatan penting.

KDN serbu kilang sektor tidak penting

Pada minggu lalu, Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin menyertai kakitangan penguat kuasa dalam serbuan Ops Patuh di sebuah kilang di Selangor.

“Ini syarikat kejuruteraan. Mereka tidak sepatutnya bekerja. Ini bukan sektor penting,” katanya kepada pemberita selepas serbuan pada 2 Julai lalu.

Semalam, dua kilang rokok elektronik di Shah Alam masing-masing dikenakan kompaun RM10,000 kerana tetap beroperasi walaupun tidak termasuk dalam sektor perkhidmatan penting.

Penutupan kilang yang tidak termasuk dalam sektor perkhidmatan penting di Selangor – negeri yang paling maju di Malaysia – memberi kesan kepada ekonomi negara.

Pada 2 Julai lalu, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Azmin Ali memetik Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menurutnya tidak menganjurkan penutupan yang boleh mengakibatkan “kerosakan ekonomi yang melampau, terutama yang mempengaruhi mereka yang berpendapatan rendah”.

Walaupun tidak merujuk kepada penutupan kilang secara khusus, kenyataan itu dibuat sebaik selepas pengumuman PKPD di Selangor dan sejumlah kawasan di Kuala Lumpur.

sumber : https://www.malaysiakini.com/news/581866