Semalam kita dikejutkan dengan penemuan mayat seorang siswazah UPSI, Farah Kartini yang mati dibunuh. Hari ini polis Perak telah mengesahkan suspek adalah Pegawai Polis berpangkat rendah dari Perak.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris, berkata suspek berusia 26 tahun itu adalah anggota berpangkat lans koperal di Balai Polis Slim River di Tanjung Malim dan sudah lima tahun berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Azizi berkata, kes mengenai kehilangan dan pembunuhan Nur Farah Kartini pada asalnya disiasat oleh Kontinjen Perak di bawah Kertas Enkuiri Polis (KEP) Orang Hilang, sebelum diserahkan kepada Polis Kontinjen Selangor.
“Kita sahkan bahawa subjek yang melakukan kes ini setakat yang disiasat oleh KEP Orang Hilang tadi itu, diperlakukan oleh seorang anggota daripada Balai Polis Slim River, dan (untuk itu) pasukan siasatan daripada Polis Daerah Muallim sudah menjalankan siasatan berasaskan KEP Orang Hilang itu.
“Dan beliau (subjek) sudah pun menunjukkan tempat di mana berlakunya kejadian (penemuan mayat), dan apabila kita semak tempat berlaku kejadian terbabit adalah di Selangor. Sehubungan itu, kertas siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibuka oleh Kontinjen Selangor,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Polis Selangor, Datuk Hussei Omar Khan ketika dihubungi berkata mayat mangsa yang dijumpai di ladang kelapa sawit berhampiran FELDA Gedangsa, Kuala Kubu Bharu semalam, ditemui dalam keadaan sudah mulai mereput.
“Berdasarkan siasatan awal, lokasi mayat mangsa ditemui adalah lokasi utama kejadian pembunuhan.
“Mayat mayat mangsa ditemui dalam keadaan sudah mula mereput. Siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya, hari ini.
Baca: “Farah Kartini tak ikut teman lelaki ke Thailand” – Rakan baik dedah segalanya