Suspek kes pecah rumah tikam anggota polis dengan gunting, mahu elak diri daripada ditahan

  • Post author:

Suspek kes pecah rumah tikam anggota polis dengan gunting, mahu elak diri daripada ditahan. Pemandu lori tersebut ditahan selepas cuba membunuh anggota polis berpangkat Lans Koperal dengan menikam lengannya.

Kejadian ini dikatakan berlaku semasa menjalankan serbuan di sebuah rumah di Taman Sri Sentosa, Bukit Bidang dekat Selising di sini kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 10 malam semasa sepasukan anggota polis Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok menyerbu rumah lelaki berusia 35 tahun itu yang merupakan suspek bagi beberapa kes pecah rumah di daerah ini dan Bachok lapor Utusan.

Ketua Polis Daerah Pasir Puteh, Superitendan Zaizul Rizal Zakaria berkata, siasatan mendapati, suspek cuba untuk melarikan diri dari bahagian dapur ke pintu depan rumah semasa anggota polis tiba di rumah berkenaan.

Tikam lengan polis lepas panik diserbu

Menurutnya, insiden tersebut menyebabkan berlaku pergelutan antara suspek dengan polis sebelum lelaki itu bertindak menikam lengan salah seorang anggota polis selepas dia dipercayai panik melihat sepasukan pihak berkuasa mengepung rumahnya.

“Tikaman gunting itu turut menyebabkan anggota polis menerima lima jahitan pada lengan kanannya di Klinik Kesihatan Bachok dekat sini.

“Suspek juga cedera pada bahagian kepala sehingga menerima empat jahitan, bengkak pipi kiri, lebam mata kiri dan luka pada tubuhnya akibat pergelutan itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Suspek terlibat dalam kes pecah rumah, ada rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah

Zaizul Rizal memberitahu, siasatan lanjut turut mendapati, suspek dipercayai terlibat dalam kegiatan pecah rumah selain mempunyai lima rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.

Menurut Zaizul Rizal juga, ujian saringan air kencing turut mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine.

“Siasatan di lokasi kejadian turut menemui sebilah gunting berwarna merah yang dipercayai digunakan semasa menikam anggota polis.

“Suspek kini direman selama empat hari bermula semalam sehingga Khamis ini,” katanya.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan kerana pecah rumah dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cuba membunuh anggota polis.

Baca Juga: Wanita hina Islam di Kelab komedi didakwa pagi ini

Baca Juga: “Kita tak nak Malaysia bankrap macam Sri Lanka”- Warganet mahu pemimpin rasuah dijatuhkan segera