Rangka pistol angin di rumah suspek, 5 ahli keluarga serang balai polis ditahan semula bawah SOSMA

Lima ahli keluarga suspek serangan Balai Polis Ulu Tiram yang bakal menamatkan tahanan reman pada hari ini akan ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mendakwa, siasatan terperinci sebelum ini sangat menjurus kepada elemen radikal berdasarkan latar belakang keluarga.

“Siasatan mendapati keluarga suspek ini tidak bergaul dengan masyarakat sekeliling, dan berdasarkan data dan rekod memang bapa suspek merupakan Jemaah Islamiyah (JI).

“Setakat ini, seramai 47 saksi telah direkod keterangan berkaitan kes ini dan siasatan menjurus kepada elemen dan ideologi radikal berdasarkan penemuan beberapa batang paip dipercayai untuk membuat pistol angin di rumah suspek,” katanya.

Beliau menyatakan demikian dalam sidang akhbar di Pejabat Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram, Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara, pada Jumaat.

Baca juga: Whatsapp bakal dirakam dan dikendali kerajaan? Tak sangka ini jawapan Kementerian Komunikasi