“Syamsul tak balik beraya dengan kami pada tahun ini. Tapi tak apa, kami tak ambil hati pun dan kami dah boleh terima benda ini. Semua ini adalah qada dan qadar.
“Tapi saya percaya dia seorang anak, kasih sayang dia pada ibu dan ayah dia tetap utuh.
Biasalah budak muda merajuk kan? Tapi kami memang tak ambil hati,” kata Datuk Yusof Haslam ketika ditemui.
Penerbit yang terkenal dengan gelaran ‘The Six Million Dollar Man’ itu memberikan komennya mengenai pertanyaan media tentang ketiadaan anak lelakinya, yang juga seorang pengarah dan pelakon semasa sambutan Aidilfitri yang lepas.
Pada bulan Mac yang lalu, Yusof turut mendedahkan bahawa Syamsul juga tidak menghubungi mungkin disebabkan kesibukan dengan pembikinan filem.
Terakhir kali mereka bertemu adalah pada tahun 2022 ketika ibu mertua Yusof, yang juga nenek Syamsul jatuh sakit.
Yusof mengatakan bahawa dia sangat memahami situasi tersebut kerana Syamsul mungkin sedang sibuk dengan penghasilan filem terbarunya yang diarahkan sendiri iaitu, “Original Gangster”.
Ia dijadualkan akan ditayangkan pada penghujung tahun ini.
“Apa saja untuk Syamsul, saya dan ibunya sentiasa mendoakan terbaik. Tidak ada ayah atau orang tua yang mahu melihat kejatuhan anaknya,” katanya.