Syarikat teknologi gergasi, Microsoft umum dikenali dengan budaya kerja yang unik kepada para pekerjanya.
Bahkan, para pekerja mereka mempunyai segala kemudahan termasuk bilik tidur siang yang selesa untuk berehat.
Inisiatif Microsoft yang turut mengamalkan sunnah Nabi tidur sekejap tengah hari ini sekaligus memberi keseimbangan kerja dan kehidupan serta fleksibiliti di tempat kerja.
Hal ini dibuktikan dengan satu rakaman video menunjukkan faedah istimewa yang disediakan untuk pekerja Microsoft.
Video tersebut dikongsikan seorang jurutera pembangunan perisian di syarikat yang melabur berbilion dolar dalam OpenAI iaitu syarikat kepintaran buatan (AI) yang menghasilkan ChatGPT itu.
Sementara itu, menurut Public Health Malaysia kebanyakan syarikat korporat antarabangsa memang ada menyediakan ruang untuk pekerja mengambil “power nap”.
“Ini kerana telah terbukti, power nap mampu memberi kesan positif kepada produktiviti kerja, memori dan mengurangkan stres.
“Pada pukul 1 tengahari ke pukul 3 petang, suhu badan akan berkurangan dan terdapat peningkatan hormon melatonin.
“Kombinasi ini akan menyebabkan anda rasa mengantuk pada waktu tengahari dan waktu ini adalah waktu terbaik untuk melakukan power nap,” kata laman kesihatan awam itu.
Walau bagaimanapun, tambahnya, individu yang mengalami kesukaran untuk tidur pada waktu malam perlu mengelak tidur siang.
Berikut ini 6 manfaat kesihatan ‘power nap’ dikongsikan Public Health Malaysia:
- mengurangkan stres
- rasa lebih segar
- meningkatkan tenaga
- memperbaiki mood
- meningkatkan prestasi kerja
- menguatkan ingatan