Syed Saddiq tiba di mahkamah, sekali lagi didakwa selepas seminggu

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Mahkamah Sesyen di sini, pagi ini, dijangka bagi berdepan satu pertuduhan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA).

Beliau yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan tiba jam 8.58 pagi dengan diiringi peguamnya, Gobind Singh Deo.

Syed Saddiq yang kini ialah Presiden Penaja Parti Ikatan Demokratik (MUDA), sebelum ini memegang jawatan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Terdahulu, beberapa individu dipercayai penyokong dan ahli keluarga Syed Saddiq termasuk ibu bapanya, Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff dan Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz dilihat hadir di lobi mahkamah.

Sebelum ini beliau dihadapkan ke Mahkamah Seksyen, Kuala Lumpur pada 22 Julai lalu atas tuduhan pecah amanah dana ARMADA berjumlah RM1 juta pada tahun lalu.

Selain itu, beliau berhadapan tuduhan menyalah guna harta iaitu wang sumbangan untuk kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) sebanyak RM120,000.

Syed Saddiq, 29, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua tuduhan itu yang dibacakan berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.

sumber : https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2021/08/847368/syed-saddiq-tiba-di-mahkamah