Tabung Haji keluarkan arahan larangan pakai songkok, ini jawapan menteri

Tiada masalah buat pekerja TH Hotel Kelana Jaya (THKJ) memakai songkok atau kopiah semasa bertugas di hotel berkenaan, kata menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad.

Memetik dari Malaysiakini, Idris berkata, dia telah mendapatkan maklum balas daripada CEO Lembaga Tabung Haji Amrin Awaluddin berhubung satu surat yang beredar menyatakan bahawa pekerja THKJ dilarang memakai songkok dan kopiah ketika bertugas.

“Lepas balik daripada solat Isyak, dapat maklumat mengenai memorandum THKJ. Terus hubungi CEO TH Amrin. Ini respons daripada CEO kepada saya: ‘Memo dikeluarkan oleh pengurus hotel tanpa maklum balas’.

“Tiada masalah sebenarnya, asalkan bersih, kemas, selamat, tertib, menutupi aurat, seragam.

“Saya minta CEO segera selesaikan isu ini,” katanya di Facebook semalam.

Surat berkenaan, yang ditujukan kepada pekerja THKJ, memperincikan etika pemakaian yang harus dipatuhi pekerja di bawah perkara “pemakaian ketika bertugas”.

“Adalah dimaklumkan bahawa semua anggota THKJ diminta untuk berpakaian kemas termasuk pemakaian kasut yang bertutup dan menjaga kebersihan diri sepanjang bertugas.

“Anggota juga diminta untuk tidak memakai songkok atau kopiah ketika bertugas kecuali ketika ingin menunaikan solat,” kata surat berkenaan.

Surat itu ditandatangani oleh pengurus THKJ Mohamad Nazrul Nazib Nasihin, dan turut dikongsi Idiris di Facebooknya.