Tak berhati perut! Wanita dibunuh, dibakar selepas dipercayai cuba diperkosa

Cubaan memperkosa dipercayai menjadi motif seorang wanita berusia 25 tahun dibunuh sebelum mayatnya dibakar di dalam kawasan sebuah sekolah menengah, baru-baru ini.

Mayat wanita berkenaan ditemui rentung dalam bengkel pertanian kemahiran hidup di sebuah sekolah menengah di Bandar Tun Razak, Cheras, kelmarin.

Menurut saksi yang juga majikan mangsa, wanita tersebut sepatutnya bertemu pelanggan sebelum kejadian tersebut namun mangsa gagal dihubungi.

“Namun selepas agak lama tidak dapat menghubunginya, saya meminta anak pergi ke sekolah berkenaan untuk memeriksa sama ada mangsa ada di sekolah.

“Anak saya kemudian terlihat ketulan asap keluar dari salah satu bilik di bangunan sekolah itu.

“Saya segera menghubungi bomba sebelum bergegas ke lokasi. Namun sebaik tiba, pihak bomba memaklumkan terjumpa mayat dalam bilik itu,” katanya memetik Harian Metro.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, mangsa bekerja sebagai penyelia kedai buku di sekolah berkenaan dipercayai ingin dirogol suspek yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.

Menurutnya, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis daerah (IPD) Cheras, menerima maklumat melalui panggilan MERS 999 pada jam 6.18 petang kelmarin mengenai kejadian kebakaran di sebuah bilik dalam kawasan sekolah terbabit.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota polis dari Balai Polis Salak Selatan pergi ke lokasi kejadian dan mendapati kebakaran berjaya dipadamkan. Satu mayat dalam keadaan rentung seluruh badan dijumpai bomba.

“Mayat mangsa dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk bedah siasat,”katanya semalam.

Muhammad Idzam berkata, satu tangkapan dibuat terhadap seorang lelaki berusia 30-an di dalam kawasan sekolah itu bagi membantu siasatan mengikut seksyen 302 kanun keseksaan.

“Siasatan lanjut masih diteruskan dan setakat ini suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau,”katanya.