Kenyataan Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wan Saiful Wan Jan yang menafikan dakwaan parti itu cuba ‘membeli’ atau ‘mencuri’ ahli UMNO disifatkan sebagai tidak cerdik.
Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegaskan sehingga kini sudah terbukti 16 kerusi Parlimen dan dua Dewan Undangan Negeri (DUN) dicuri dari UMNO.
“Tak cerdik… Macam mana tak curi (ahli UMNO)? Orang ini bertanding atas lambang Barisan Nasional (BN), jadi kalau tak curi kita lawanlah nanti, kita tengok.
“Itu baru tak curi. Mereka curi 16 kerusi kita, Parlimen dan negeri. Perak ini dua DUN kita dia curi. Dia (Bersatu) bukan curi dari kita sahaja… daripada orang lain pun sama, itu curilah namanya,” ujar beliau
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Rengas di Dewan Millenium di sini pada Ahad.
Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenderoh, Datuk Zainon Mat Noor.
Terdahulu, Bersatu menafikan dakwaan parti itu cuba ‘membeli’ atau ‘mencuri’ ahli UMNO sehingga sanggup membayar sehingga RM5,000 bagi penubuhan cawangan parti berkenaan.
Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menegaskan, perkara itu adalah tidak benar sama sekali selain menyifatkan ia adalah tuduhan liar tanpa bukti yang kukuh.
BACA: Bersatu nafi ‘beli’ atau ‘curi’ ahli UMNO, gesa Asyraf Wajdi mohon maaf – Wan Saiful
Sehubungan itu, beliau menggesa Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki tampil memohon maaf dan menarik balik tuduhan tersebut.
Sebelum ini Pergerakan Pemuda UMNO mendesak Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) agar menghentikan segera sebarang usaha untuk bersaing ahli di antara satu sama lain jika mahu meneruskan kerjasama dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata tindakan itu tidak dapat memberi jaminan kerjasama kedua parti berkenaan akan kekal sekiranya perkara sedemikian masih berlaku.
Fenomena ‘curi’ dan ‘beli’ ahli UMNO jika diteruskan sebegini akan mengesahkan segala persepsi dan dakwaan selama ini bahawa matlamat Bersatu ditubuhkan dan gabungan besar PN diwujudkan hanyalah untuk melemahkan dan menggantikan UMNO.
sumber: https://www.astroawani.com/berita-politik/nafi-beli-curi-ahli-umno-kenyataan-tak-cerdik-nazri-aziz-275792