Tak habis lagi ‘drama’ cinta multi segi Aliff Aziz, terkini Ruhainies pula mohon maaf, mahu jumpa Bella dan Sarah

Dahsyat penangan ‘drama’ cinta multi segi aktor Aliff Aziz ini apabila terkini Ruhainies tampil membuat permohonan maaf secara terbuka terhadap Bella Astillah.

Awal pagi tadi, menerusi perkongsian di Instagram Story (IGs), pemilik nama sebenar, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas, 31, itu turut berharap dapat bersemuka dengan Bella bagi memperbetulkan keadaan.

“Dengan penuh rendah diri, saya ingin memohon maaf kepada Bella Astillah atas segala apa yang terjadi.

“Saya juga ingin bertemu dengan anda bagi menjernihkan keadaan.

“Saya juga mahu menutup buku, lupakan apa yang berlaku dan kembali gembira,” tulisnya.

Hantaran itu turut menjawab persoalan mengapa pelakon drama rantaian Bintang itu mengunci mulut terhadap kontroversi yang berlaku.

“Saya memilih berdiam diri bukan untuk mengiya atau menidakkan, tetapi atas niat mengelakkan sebarang pertelingkahan dalam media sosial, sekali gus memanjangkan isu tersebut.

“Saya juga ingin memoghon maaf pada semua pihak yang terkesan dengan segala berlaku,” luahnya.

Menerusi hantaran lain, adik kepada pelakon Nur Risteena Munim itu juga mahu bertemu empat mata dengan wanita yang mendakwa dirinya kekasih Aliff Aziz iaitu Sarah Yasmine bagi tujuan sama.

“Saya juga dengan penuh keikhlasan ingin menjemput Sarah Yasmine bersama menyertai pertemuan kami bagi mengakhiri segala kemelut yang berlaku.

“Saya berharap Bella dan Sarah memberi peluang kepada saya untuk bersemuka dengan mereka,” ungkap Ruhainies.

Sebelum ini, Sarah mendakwa dirinya adalah kekasih Aliff, sekali gus membuka episod baharu kecurangan pelakon kelahiran Singapura itu.

Menerusi pendedahan dimuat naik dalam IG, wanita dipercayai kelahiran Singapura itu juga turut mendakwa Aliff dipergunakan oleh Ruhainies.

Rentetan itu, pelbagai pendedahan lain dibuat Sarah di IGs yang turut mengaitkan beberapa nama selebriti lain seperti Caprice, Emma Maembong dan Chacha Maembong.

Kontroversi rumah tangga Aliff dan Bella tercetus lagi selepas Aliff ditangkap khalwat dengan Ruhainies di sebuah kondominium mewah, di ibu negara, Mac lalu.

Tidak tahan kerap menjadi mangsa curang dan mendakwa Aliff melakukannya sebanyak 11 kali, Bella memfailkan cerai di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 11 Mac lalu.

Bella dan Aliff mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan hasil perkahwinan dikurniakan dua cahaya mata, Mohamad Ayden Adrean, 7, dan Ara Adreanna, 4.

BACA JUGA Cantik dan bijaknya bakal YB DUN Kuala Kubu Bharu, ini 7 fakta menarik mengenai Pang Sock Tao