Ramai remaja di Amerika Syarikat (AS) tidak lagi aktif di Facebook (FB) sebaliknya banyak menghabiskan masa di platform perkongsian video seperti YouTube dan TikTok.
Tinjauan Pusat Penyelidikan Pew pada 10 Ogos lalu mendapati kebanyakan remaja AS kurang melayari FB sejak tujuh tahun lalu.
Menurut laporan itu, aplikasi gergasi teknologi yang berpusat di Lembah Silikon itu dilihat sebagai tempat untuk individu berusia.
TikTok yang merupakan aplikasi perkongsian video sosial dari China itu muncul sebagai platform media sosial paling digemari remaja AS.
Sementara itu, YouTube yang dikendalikan Google menjadi medium biasa digunakan oleh remaja, lapor Agensi.
Dapatan itu dikeluarkan ketika Meta iaitu pemilik FB bersaing dengan TikTok untuk media sosial, cuba mengekalkan bilangan maksimum pengguna sebagai sebahagian daripada perniagaan dipacu iklan berbilion dolarnya.
Laporan itu mendedahkan kira-kira 95 peratus daripada remaja berkata, mereka menggunakan YouTube manakala 67 peratus lagi adalah pengguna TikTok.
Dalam masa sama, kira-kira 62 peratus daripada remaja berkata, mereka menggunakan Instagram (IG) yang dimiliki oleh Meta, manakala 59 peratus lagi mengakui menggunakan Snapchat.
Untuk rekod, Tik Tok diperkenalkan oleh syarikat teknologi Internet dari China iaitu ByteDance pada 2016.
Setakat tahun lalu, jumlah muat turunnya melebihi 2 bilion manakala pengguna aktifnya mencecah 689 juta dan jumlah itu terus meningkat.
Sebanyak 69 peratus pengguna TikTok adalah golongan remaja berusia antara 16 hingga 24 tahun iaitu golongan Generasi Z atau Gen Z yang lahir antara 1997 hingga 2012.
Aplikasi yang memuat naik video pendek itu juga digunakan untuk menjana pendapatan bergantung kepada berapa ramai pengikut masing-masing.
Ekoran itu, TikTok melahirkan ramai juawan muda di seluruh dunia yang terkenal dalam mencipta kandungan kepada orang ramai.
Baca juga “Gila” menayang kekayaan di media sosial, Hartawan ini kembali miskin semula
Baca juga Suka tonton video aktiviti paranormal? Ini nasihat berguna elak anda sekeluarga kena ‘kacau’